Keperluan mengkaji perancangan musuh

- Advertisement -

SYEIKH Wan Ahmad Muhammad Zain al Fathani (1856-1908) antara pemikir Islam yang sarat dengan idea-idea yang power. Beliau merupakan guru kepada Tok Kenali dan mempunyai hubungan yang kuat dengan Sultan Abdul Hamid II (Khilafah Uthmaniah).

Antara idea yang dilontarkan oleh beliau dalam menghuraikan konsep politik Islam ialah keperluan membaca gerak geri musuh. Seorang pemerintah bukan sahaja perlu pandai bermain senjata, tetapi pandai juga menghidu gerak geri dan strategi atau muslihat musuh.

- Advertisement -

Idea beliau ini turut merangkumi idea Imam al Ghazali yang meletakkan keperluan terhadap kekuatan politik bagi memastikan bukan sahaja ibadat khususiyah dapat dilakukan, tetapi juga kehidupan bermuamalat atau bersosial secara syariah dapat ditegakkan sepertimana kata-katanya;

الدين أس والسلطان حارس ، وما لا أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع 

Hari ini kita berhadapan dengan perang pemikiran. Sudah pasti bagi mereka yang ada kesedaran untuk melawan musuh, perlu untuk mendalami serangan pemikiran dan ideologi yang banyak meracuni pemikiran Umat Islam hari ini.

‘Future studies’

Antara kajian ilmiah yang masih dianggap kurang wujud di kalangan sarjana Islam hari ini ialah kajian dalam bidang ‘future studies’. Mengkaji mengenai masa depan, atas tujuan mempersiapkan diri kita dan jamaah untuk berhadapan dengan generasi masa depan. 

Beberapa tulisan yang diistilahkan sebagai meneroka masa depan antaranya Physics Of The Future karangan Muchio Kaku, The World Is Flat karangan Thomas L Friedman, The Age Of The Unthinkable karangan Joshua Cooper, Revolutionary Wealth karangan Alvin Toffler dan lain-lain.

Apabila kita meneliti penulisan-penulisan orang Barat mengenai Islam, adakalanya kajian mereka melangkaui zaman. 

Contohnya tulisan Oliver Roy yang bertajuk The Failure of Political Islam yang ditulis di era kejatuhan Soviet dan di awal kebangkitan Islam 90-an di pentas demokrasi. Ketika itu beliau menggambarkan bahawa gerakan Islam tak ke mana disebabkan sikap-sikap orang Islam. 

Contoh yang lain pada 2003 Graham E. Fuller menulis buku mengenai The Future of Political Islam yang menggambarkan masa depan perjuangan gerakan-gerakan Islam. 

Kita tidaklah menganggap mereka itu ‘kasyaf’ atau menilik nasib. Akan tetapi yang kita bincangkan ialah usaha kita untuk mendepani realiti masa depan dengan persiapan dan persediaan, bukan dengan sembang kari.

Generasi Z dan Alpha perlu dikuasai dengan pembudayaan ilmu, wacana, hujah dan pemikiran yang kritis. Sebab itulah saya sangat yakin dengan masa depan kebangkitan Islam, kerana generasi itu mencari hujah, dan mereka akan temui hujah itu dalam Islam.

Sekiranya gerakan Islam pada hari ini tidak membudayakan ilmu dan hujah cara Islam, lebih gemar taqlid buta dan doktrin tanpa asas, pastinya akan ditinggalkan dan dibiarkan syok sendiri.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/10/2020

- Advertisement -