Perikatan Nasional: Kongsi kuasa ‘selimut kecil’

- Advertisement -

TAIPING: PAS telah menggerakkan peranan penting kepada kestabilan politik selaras tujuan penubuhannya yang termaktub pada Fasal 5 Perlembagaan PAS, demikian nyata Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

- Advertisement -

Terangnya, anjakan dibuat dari Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mengikat pihak dahulunya bertelagah kepada Budaya Pentadbiran Matang dan Sejahtera untuk memacu semula negara selepas era 22 bulan Pakatan Harapan.

Pun begitu kata Afnan, hala tuju politik atas nama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional itu tidak semudah yang disangka di mana diperjelaskan beliau dengan perumpamaan ‘berkongsi selimut kecil’, namun ujian itu mengenalkan antara satu sama lain.

“Selimut kita kecil. Nak tutup kepala nampak kaki. Nak tutup kaki nampak kepala. Tak kisahlah, yang penting masing-masing ada selimut untuk halang kita daripada kesejukan. Tapi nak tutup semua tak dapat. Sebab selimut kita kecil.

“Di sinilah akan terlihat dan teruji keikhlasan orang yang berpolitik. Kesungguhan orang kita berjuang,” ujarnya mengenai perkongsian kuasa itu dan mengimbas semua perubahan tersebut datang setelah merasai tindak tanduk Pakatan Harapan memerintah.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Kali Ke-37 yang berlangsung di Hotel Perdana, di sini kelmarin.

Katanya, rakyat telah menanggung sengsara dan melihat hakikat serta tujuan PH berpolitik di mana membawa negara kepada ketidakstabilan, dengan kini perhatian rakyat tertumpu pula kepada pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu beliau mengajak perwakilan Pemuda PAS Perak melengkapkan diri dengan 7P sebagai panduan untuk mengemudi pemerintahan negeri dengan baik.

Iaitu perincinya, persiapan ilmu meliputi imej dan kemahiran; pemikiran sebagai pemerintah; pentadbir yang berhubungan baik; pendengar yang baik; penyelesai kepada masalah; pengiktirafan sebagai simbol kualiti; serta patuh kepada Allah dan jemaah. – HARAKAHDAILY 24/8/2020

- Advertisement -