Pahang bangun perumahan mesra syariah

- Advertisement -

JERANTUT: Taman Gelanggi RMS di Pulau Tawar di sini menjadi projek perumahan mesra syariah pertama di Pahang sebelum konsep itu diperluaskan ke daerah lain, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda. 

Beliau berkata pembinaan fasa pertama melibatkan 28 unit rumah berkembar setingkat dan dua unit banglo setingkat dijangka siap tahun depan dan ini akan diikuti dengan fasa kedua membabitkan 28 unit rumah teres setingkat.

Menurut Abd Rahim, antara ciri rumah mesra syariah itu ialah mempunyai arah kiblat yang diperakui oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang selain mempunyai bahagian wuduk mesra tetamu. 

- Advertisement -

“Reka bentuk ruangnya juga memelihara aurat dan privasi keluarga selain anak lelaki dan perempuan dapat diasingkan dalam bilik berlainan kerana rumah tersebut mempunyai empat buah bilik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan pelancaran projek itu di sini, semalam. 

Abd Rahim berkata jualan rumah terbuka kepada semua kaum dan setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan semua unit telah terjual.

Projek yang dimajukan oleh Pembinaan Jaya Depan Sdn Bhd dengan kerjasama Jemaah Penasihat Syariah Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyyah itu menawarkan unit kediaman berkembar dengan harga bermula RM299,000 termasuk subsidi MyHome RM30,000 yang ditawarkan kepada pembeli rumah pertama yang layak. – BERNAMA

- Advertisement -