Penyatuan PAS-Umno tak bermakna tanpa BERSATU

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Penyatuan ummah tidak membawa makna jika hanya berlaku antara PAS dan Umno, kerana ia sepatutnya mengikat seluruh umat tanpa perlu ada perbezaan parti sebagaimana dilakukan Nabi dan dituntut Islam.

- Advertisement -

Oleh itu keputusan BERSATU menyertai Muafakat Nasional mesti dialu-alukan, demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kampung Tua Semanggol, di sini semalam.

Bahkan keterbukaan ini tegasnya, mesti difahamkan serta diluaskan kepada seluruh umat terutama kaum Melayu-Islam di negara ini tanpa dikhusus atau dihadkan bagi menjayakan tujuan dan agenda penyatuan ummah tersebut.

Menurut beliau, sesiapa sahaja yang ingin bersama atas kehendak membangunkan negara, mengembalikan kesejahteraan, mengiktiraf hak masing-masing dan kaum seperti termaktub dan diiktiraf Perlembagaan, mesti diterima.

Apatah lagi ujarnya, pengalaman PRU14 sepatutnya menyedarkan umat betapa terdapatnya ancaman ke atas Melayu-Islam dan kestabilan politik menjadikan masa depan negara berada dalam keadaan tidak teratur dan pincang.

Beliau juga mengingatkan supaya jangan ada sikap tidak mengendahkan BERSATU kerana asal parti itu adalah sebagai komponen kerajaan, namun bertindak keluar dari Pakatan Harapan dan bersama dalam gabungan baharu membentuk kerajaan.

Jelas beliau, tindakan BERSATU itu kerana menyedari wujudnya ancaman kepada kestabilan dan keadaan tidak teratur kepada masa depan negara dalam Pakatan Harapan, sebaliknya melihat adanya asas teguh untuk bersama penyatuan ummah.

Oleh itu tegas Razman, umat Melayu-Islam mesti bersatu jangan sesekali meminggirkan BERSATU walaupun datangnya kemudian dalam Muafakat Nasional, bahkan diperlukan untuk bersama-sama. – HARAKAHDAILY 18/8/2020

- Advertisement -