MB Kedah sangkal lambat bertindak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri lambat bertindak dalam mengawal penularan COVID-19 di negeri itu.

Katanya bidang kuasa kerajaan negeri berhubung pandemik itu adalah terhad dan setiap isu berbangkit pula perlu melalui proses sebelum satu tindakan dapat diambil oleh Kerajaan Pusat.

“Setiap maklumat daripada agensi dan jabatan kerajaan (di peringkat negeri) akan dibawa ke meja rundingan.

- Advertisement -

“….. Ini melibatkan semua pihak antaranya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua polis negeri dan pegawai-pegawai daerah untuk diperhalusi,” katanya dalam satu pesanan suara yang dihantar kepada pemberita di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, kerajaan negeri akan mengesyorkan tindakan untuk diambil oleh pihak yang berkenaan.
 
“Contohnya kuasa menutup sekolah terletak di bawah Kementerian Pendidikan, jadi pengumuman (tutup sekolah) hanya boleh dibuat oleh menteri kanan terbabit,” katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan netizen melalui media sosial bahawa kerajaan negeri Kedah lambat bertindak bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Sehingga kini, terdapat empat kluster COVID-19 di negeri berkenaan iaitu Sivagangga, Tawar, Muda dan Sala. – BERNAMA

- Advertisement -