Judi Siber: P. Pinang dalam kawalan pihak berkuasa

- Advertisement -

BERITA mengenai operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kegiatan perjudian di Pulau Pinang banyak mengisi dada akhbar kebelakangan ini. Ianya satu imej memalukan bagi negeri ini yang menggambarkan betapa ‘meriah’ Pulau Pinang dengan kegiatan tidak berfaedah tersebut.

- Advertisement -

Tenggelam sudah KOMTAR, Padang Kota, Bukit Bendera, Tanjung Bunga, Batu Feringgi, nasi kandar, pasembor, laksa dan banyak kemasyhuran lainnya.

Tahniah atas kesungguhan pihak PDRM yang berusaha membongkar dan membanteras kegiatan perjudian ini di mana telah tumbuh dalam pelbagai rupa. Malah berselindung di sebalik pelbagai aktiviti lain terutama perniagaan. Malah, menyembunyi atau menjadi rantaian atau sebahagian kepada jenayah lainnya seperti dadah, pelacuran, gangsterism dan lain-lain.

Bahkan muncul dalam kelicikan lain seperti judi siber yang difahamkan menjana sehingga RM1 juta sebulan kepada pengusaha terbabit. Persoalannya di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bertindak serius dalam menangani isu ini? Hinggakan muncul kesangsian bahawa kerajaan negeri pula menjadi ‘pelindung’ kepada kegiatan seperti ini.

PAS Pulau Pinang sudah lama menyatakan penentangan secara terbuka sejak berada bersama dalam Kerajaan Pakatan Rakyat lagi. Malah disuarakan secara aktif melalui peranan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diwakili PAS.

Memorandum bantahan judi siber juga telah diserahkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika itu. Serahan tersebut telah disaksikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga ketika itu hadir melawat Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Terkini daripada jawapan soalan Sidang DUN Pulau Pinang yang pernah saya tanya, MBPP hanya mengeluarkan 1,099 kompaun pada tahun 2015 dan 75 kompaun pada tahun 2016. Pada tahun 2017 sehingga 17 Julai 2018 tiada sebarang kompaun atau tindakan diambil kepada mereka yang menjalankan sidiket judi siber ini. Isu ini juga akan saya bangkitkan pada Sidang DUN bulan Oktober nanti.

Pada bulan April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sendiri terpaksa menerjah tempat sindiket judi siber dijalankan di kawasan saya iaitu DUN Penaga setelah mendapat banyak rungutan daripada masyarakat dan tiada tindakan yang diambil. Amat menyedihkan kerana kawasan saya yang majoriti Melayu mempunyai tempat judi siber, sedangkan kita tahu orang Melayu Islam tidak akan membuka kedai judi siber seperti ini.

Kerajaan negeri dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap isu ini sehinggakan taukeh-taukeh berani menjalankan judi siber ini. Malah, banyak telah didedahkan oleh pihak berkuasa sendiri premis-premis perniagaan yang digempur kerana menjalankan kegiatan judi di sebalik aktiviti perniagaan mereka. Tindakan PDRM yang menyiasat dan menyerbu kegiatan ini setiap hari menunjukkan seolah-olah negeri ini menjadi sarang perjudian judi siber.

Diharap selepas ini adanya tindakan yang lebih keras daripada kerajaan negeri dan agensi PBT MBPP/MPSP dalam usaha untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa di negeri Pulau Pinang, serta mencambahkan pelbagai kegiatan tidak bermoral atau menyumbang kepada statistik jenayah lain.

Terima kasih.

YB MOHD YUSNI MAT PIAH
ADUN Penaga
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -