Pejuang dahulu mahu kemerdekaan dipertahankan

- Advertisement -

GERIK: Para pejuang terdahulu yang terkorban dalam pertempuran dengan musuh kerana mempertahankan negara serta menuntut kemerdekaan tanah air diharap perjuangan mereka diganjari syahid.

- Advertisement -

Justeru generasi hari ini yang mendapat nikmat kemerdekaan dan nikmat keamanan dalam negara ini hasil pengorbanan para pejuang terdahulu, sewajarnya mendoakan mereka mendapat anugerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin, berkata pejuang-pejuang terdahulu dapat merasai bertempur dengan musuh yang datang menceroboh untuk menjajah negara dan sebahagian mereka gugur sebagai syuhada.

“Mereka merasai nikmat, mereka dapat bertempur dengan musuh-musuh dan hari ini kita mendoakan mereka dapat merasai nikmat syahid itu sendiri.

“Mereka berjuang mempertahankan negara, berjuang untuk memerdekakan semula negara dan hasilnya hari ini kita dapat nikmat kemerdekaan dan nikmat keamanan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Program Kembara Merdeka dan Merdeka@Komuniti Daerah Pengkalan Hulu di Memorial Tragedi Kroh – Betong di Pintu Masuk ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Hassan Ash-Shaari Abu Bakar serta Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu, Zulhizam Mohamad.

JugaKetua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Supritendan Zulkepli Ibrahim, Pegawai Pemerintah Rejimen 3 Sempadan, Left Kol Ameruddin Razali, Pegawai Pemerintah PGA, Supritendan Abdul Razak Mat Din dan Pengkisah Bingkisan Merdeka, Sarjan (B) Salleh Ahmad.

Mohd Akmal berkata, generasi hari ini dan para pejuang di barisan hadapan, diajak sama-sama menjaga nikmat kemerdekaan, keamanan yang dikecapi supaya tidak dihancurkan dan dijajah sekali lagi.

Menurut beliau, sekiranya generasi hari ini tidak menghargai nikmat kemerdekaan, nikmat keamanan ini dibimbangi suatu hari nanti Allah akan mencabut semula segala yang dikecapi ini.

“Mudah-mudahan Allah beri kekuatan kepada kita semua dalam menjaga keamanan negara ini dan mudah-mudahan Allah gagalkan segala rancangan jahat untuk menjajah semula negara kita ini,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Selama, berkata masyarakat juga digesa supaya menjadi ejen kepada kerajaan dengan memberi penerangan mengenai jasa pejuang-pejuang terdahulu.

Kerana katanya, mereka telah berusaha mempertahankan negara serta berjuang untuk memerdekakan tanah air supaya generasi hari ini menghargai pengorbanan mereka.

Tambahnya, program diadakan di Memorial Tragedi Keroh – Betong, Pengkalan Hulu itu sangat bermakna kerana daerah itu sarat dengan sejarah kekejaman dan keganasan Komunis selama berpuluh-puluh tahun berusaha untuk menceroboh dan menguasai negara ini.

Sehubungan itu serunya, pejuang-pejuang dan masyarakat hari ini tidak boleh membiarkan negara ini dijajah sekali lagi oleh musuh. – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -