Istiqamah tarbiyah seperti kisar nenas buat jem

Awasi nafsu dalam diri yang umpama binatang buas

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Pemuda PAS Negeri Perak diingatkan terhadap bahaya nafsu di sebalik usaha mengisi kemenangan dengan Islam setelah tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional.

- Advertisement -

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zahid Abu Bakar, niat dari setiap tindakan perlu disertai keikhlasan yang Penilainya ialah Allah S.W.T dan bukannya si pelaku itu sendiri.

“Kita ni jarang bawa (kereta) laju. Kereta kita pun 1300cc saja. Kita tengok orang yang bawa kereta yang besar lagi cc kita kata ‘Kalau aku bawa kereta besar, (aku) takkan bawa kereta laju’.

“Sebab apa kita (boleh) cakap (macam tu)? Sebab kita belum lagi pegang kenderaan yang (cc) besar. Bila kita (sudah) pegang, belum tahu berapa kita tekan tu,” ujar Zahid sambil menjelaskan analogi pemandu kereta dengan pemegang kuasa.

Menurutnya, nafsu umpama binatang liar yang jika diikat maka ia diam, namun jika dilepaskan ikatan barangkali nafsu menjadi lebih ganas berbanding sebelum ia diikat.

“Kalau dulu hari raya ada (rancangan) sarkas (di TV). Harimau boleh menari dengan manusia. Dia tak diikat pun. Kenapa boleh? Sebab dia dijinakkan. Tetapi kena ingat. Dia masih lagi harimau,” pesan Zahid dalam Liqa’ Fikri Zon 1 di Musolla al-Ehsan, di sini malam kelmarin.

Justeru, beliau mengingatkan peri pentingnya tarbiyah berterusan dalam menjinakkan nafsu yang suka kemegahan apabila ahli PAS memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.

Sambil berkongsi lagi analogi menarik, Zahid mengumpama tarbiyah seperti proses membuat jem lantaran kisaran berkali-kali diperlukan sebelum nenas keras bertukar menjadi jem yang lembut.

Liqa’ Fikri Dewan Pemuda PAS Perak Zon 1 mengumpulkan Ahli Jawatankuasa Harian dari Kawasan Padang Rengas, Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Lenggong, Gerik, Bukit Gantang dan Taiping. – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -