Tiga kawasan tarikan baharu agro pelancongan

PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Pusat akan menaik taraf tiga kawasan tarikan pelancongan di negeri itu sebagai pusat agro pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, tiga kawasan tarikan pelancongan itu ialah Rong Chenok dan Danau Tok Uban di Pasir Mas serta Jeram Mengaji, Selising di Pasir Puteh.

“Pusat rekreasi Jeram Mengaji mempunyai keistimewaannya tersendiri, kawasannya dikelilingi bukit dan lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan seperti chalet, pusat latihan dan dewan orang ramai bagi mengadakan persidangan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran ‘Hiking Rafflesia’ di Bukit Jeram Mengaji di sini, hari ini.

Advertisement

Katanya kawasan berkenaan juga mempunyai ladang ternakan lembu dan kambing tenusu yang memberi nilai tambah kepada pelancong yang mengunjungi kawasan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri dan pusat akan memperuntukkan RM500,000 setiap tahun dalam tempoh RMK12 yang akan bermula tahun depan bagi menaik taraf kemudahan asas di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM900,000 bagi melaksanakan projek Pertanian Bandar, yang menggabungkan kaedah pertanian tradisional dan moden di setiap kawasan DUN di Kelantan tahun ini.

Katanya setiap peserta yang terpilih akan diberi peruntukan sebanyak RM500 untuk mengusahakan projek secara kecil-kecilan di sekeliling kawasan rumah, kawasan perumahan dan masjid, yang bertujuan untuk menghijaukan kawasan sekitar dan mewujudkan persekitaran yang bersih. – BERNAMA