Ijazah Undang-undang USIM bakal diiktiraf LKPU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan penuh kelayakan program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah (SmUS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan dipertimbangkan setelah menerima laporan mengenai program itu dan laporan penilaian semula Jawatankuasa Teknikal Bersama (JTC) berkaitan pematuhan syarat ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPU) Tan Sri Idrus Harun berkata LKPU telah menetapkan tarikh ujian penilaian akhir program itu dan tarikh lawatan penilaian semula. 

“Lembaga kelayakan telah mengambil semua langkah dan tindakan perlu bagi memastikan proses pengiktirafan program ijazah SmUS, USIM dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Idrus yang juga Peguam Negara, berkata semua permohonan pengiktirafan bagi program undang-undang, sama ada daripada universiti awam atau swasta, perlu menjalani proses pengiktirafan yang sama dan tiada pengecualian diberikan.

Menjelas lanjut, Idrus berkata tarikh lawatan penilaian semula oleh JTC ditetapkan pada 25 dan 26 Mac tetapi berikutan situasi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, lawatan penilaian semula  terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain.
 
Idrus berkata Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM telah memohon pengiktirafan pada 18 Mac 2010 untuk graduan SmUS dikecualikan daripada menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) bagi kemasukan ke dalam profesion undang-undang dan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Namun, permohonan itu tidak dipertimbangkan oleh LKPU kerana pada masa itu program ijazah tersebut belum mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan USIM membuat permohonan semula pada 7 Disember 2012 setelah mendapat akreditasi MQA.

“Lanjutan daripada  permohonan tersebut, satu lawatan penilaian dijalankan dan setelah mempertimbangkan laporan Jawatankuasa Penilaian, LKPU berpandangan pemegang ijazah SmUS, USIM belum boleh dikecualikan daripada keperluan menduduki dan lulus PSAG bagi maksud menjadi ‘orang berkelayakan’ di bawah Akta 166 (Akta Profesion Undang-undang 1976) disebabkan terdapat beberapa kelemahan dalam penyampaian program ijazah tersebut,” katanya.

Oleh itu, Idrus berkata LKPU memutuskan untuk memberikan pengiktirafan sementara kepada SmMUS, USIM, yang pemegang ijazah tersebut perlu menduduki dan lulus PSAG bagi maksud menjadi ‘orang  berkelayakan’ di bawah Akta 166. 

Pengiktirafan sementara itu, katanya tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan antaranya penilaian  semula akan dijalankan dalam masa dua tahun dari tarikh keputusan LKPU dan USIM telah dimaklumkan mengenai keputusan itu serta melakukan penambahbaikan program ijazah tersebut.
 
Seterusnya, pada Mac 2017 satu lawatan penilaian semula dijalankan dan pada 29 Mac 2018, LKPU memutuskan bahawa pemegang ijazah SmUS, USIM, boleh dikecualikan daripada keperluan menduduki dan lulus PSAG bagi maksud menjadi ‘orang berkelayakan’.

Pengiktirafan itu tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat, antara lain graduan kohort 2017 hendaklah menjalani Program Latihan Kemahiran dan Praktikal selama enam bulan dan memperoleh Certificate of Completion bagi program tersebut dalam subjek Prosedur Sivil, Prosedur Jenayah, Kebankrapan dan Probate dan Pentadbiran. 

“Selanjutnya pada 26 Jun 2019, LKPU bersetuju untuk graduan kohort 2016 dibenarkan menyertai program tersebut bagi membolehkan graduan dikecualikan daripada keperluan untuk menduduki dan lulus PSAG serta tempoh program dikurangkan kepada empat bulan. Kehadiran bagi program tersebut adalah wajib dan pelajar-pelajar dikehendaki menjalani ujian penilaian pada akhir program,” katanya.

Selain itu, LKPU juga memutuskan suatu audit dijalankan oleh JTC untuk memastikan syarat ditetapkan dipatuhi.

“LKPU mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memastikan setiap ‘orang berkelayakan’ yang layak untuk memasuki profesion undang-undang yang sangat kompetitif dan mencabar ini mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

“Oleh yang demikian, proses pengiktirafan dibuat dengan teliti dan ketat untuk memastikan standard dan kualiti yang tinggi profesion undang-undang di Malaysia,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -