990 projek bernilai RM13.8 bilion di Melaka

- Advertisement -

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menyenaraikan sebanyak 990 projek pembangunan melibatkan semua agensi di negeri itu dengan peruntukan berjumlah RM13.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan bermula pada 2021 hingga 2025.

- Advertisement -

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan projek di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Melaka Lestari itu membabitkan 963 projek baharu serta 27 projek sambung yang disifatkan sebagai jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. 

“Kerajaan negeri turut membuat permohonan peruntukan berjumlah RM73.5 juta bagi membangunkan Pulau Besar sebagai Pulau Bebas Cukai dan aktiviti laut serta pantai demi memperkasa sektor ekonomi negeri. 

“Sebenarnya banyak lagi sedang kita rancang dan perincikan demi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat seperti petani, pekebun kecil, peniaga, penarik beca, penternak, nelayan, pekerja industri dan seumpamanya,” katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih atas ucapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini semalam. 
 
Beliau juga berkata bagi merancakkan ekonomi, dengan sasaran purata RM5 bilion nilai pelaburan setiap tahun, Melaka akan terus dipromosi sebagai destinasi pelaburan berkonsepkan ekoindustri, teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), perusahaan industri digital dan maritim. 

Sulaiman berkata usaha menarik pelabur dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, China, Amerika Syarikat, Jerman dan Singapura akan terus dilakukan dengan mengguna pakai teknologi mereka selaras dengan kemajuan IR 4.0 serta usaha menjadikan Melaka sebagai hab industri berteknologi tinggi yang kompetitif. 

“Pertambahan nilai pelaburan akan menjadi indikator kepada perkembangan sektor perindustrian sekali gus memberi impak positif kepada pertambahan peluang pekerjaan, meningkatkan rantaian ekonomi serta merancakkan pembangunan sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata projek penanaman menggunakan teknologi Internet benda (IoT) di Pulau Gadong akan dibangunkan kerana ia dijangka mampu meningkatkan pengeluaran dan menjimatkan kos pekerja. 

Beliau juga berkata peruntukan membaik pulih infrastruktur jalan raya bagi tahun ini dan tahun depan sedang dirancang termasuk membaiki 16 persimpangan di Lebuh Ayer Keroh serta Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ). – BERNAMA

- Advertisement -