PR PBT: Tambah ‘politiking’, ketidakseimbangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pilihan raya Pihak berkuasa Tempatan (PBT) akan mewujudkan sistem politik yang tidak seimbang dan tidak adil, demikian kata Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Katanya, kebanyakan bandar-bandar besar didiami oleh masyarakat Cina berikutan polisi pecah dan perintah penjajah British sejak dahulu kala yang sehingga kini tidak dapat diperbetulkan sepenuhnya polisi tersebut.

- Advertisement -

“Kebimbangan orang Melayu adalah mereka akan ketinggalan jika diadakan pilihan raya PBT. Memandangkan mereka adalah masyarakat minoriti di bandar-bandar besar.

“Mereka bimbang kepentingan dan hasrat mereka tidak akan diberi perhatian. Akhirnya akan ketinggalan di dalam arus pembangunan,” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, bandaraya dan bandar tidak wujud bersendirian tetapi memerlukan sokongan dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar di sekelilingnya yang mana kebanyakan didiami oleh masyarakat Melayu.

Namun begitu, suara orang Melayu tidak boleh dinafikan di dalam pentadbiran bandar-bandar besar kerana mereka turut membangunkan dan menggerakkan bandar walaupun tidak tinggal di dalamnya.

“Pilihan raya PBT tidak akan mengambil kira sumbangan mereka (orang Melayu). Mereka tidak boleh mengundi di pilihan raya ini.

“Mewujudkan lapis ketika di dalam pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya Parlimen dan pilihan raya DUN akan menambah ‘politiking’. Ia tidak akan menjadi pentadbiran di peringkat PBT lebih berkesan kerana perlu mengambil kira kepentingan-kepentingan politik,” ujarnya.

Tambah Iskandar lagi, sekiranya pilihan raya PBT dilaksanakan, dbimbangi keputusan-keputusan, projek-projek dan program-program dilakukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya itu.

“Terlalu banyak politik di dalam masyarakat dan kita tidak perlu menambah lagi. Fokuslah kepada memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” tegasnya.- HARAKAHDAILY 17/7/2020

- Advertisement -