KUALA LUMPUR: Para abnaul harakah mestilah memiliki keteguhan diri untuk tidak segera meninggalkan medan juang sebelum kemenangan sebenar diisytiharkan kepadanya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik berkata, biar musuh kelihatan berantakan dan lari lintang pukang dengan mencicirkan ghanimah yang banyak, tetapi tidak oleh pejuang.
Beliau mengingatkan supaya jangan memesongkan hati dari tujuan dan matlamat asal perjuangan dengan membiarkan bisikan syaitan dan nafsu menguasai, sebaliknya banyakkan berzikir dan baca al-Quran.
“Sesungguhnya ujian gelora dalaman PAS (tahun) 2015 sangat kecil berbanding ujian kemenangan 2020. Berhati-hatilah. Sentiasalah mohon perlindungan dan kekuatan dari Allah.
“Sebahagian besar tentera Thalut tidak sanggup berjuang bersama Thalut bukan kerana kedahagaan (air). Tetapi mereka menjadi lemah justeru terlalu banyak meminum air lebih dari yang dibenarkan Thalut.
“Waspadalah. Tunaikan tanggungjawab kemenangan demi Islam,” ujarnya memetik kisah ketidaksanggupan tentera Thalut meneruskan perjuangan kerana menurut nafsu diri sendiri. – HARAKAHDAILY 19/6/2020