DMPM junjung titah Sultan Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan DUN sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih tidak berpuas hati dengan pelantikan Menteri Besar Johor yang baru iaitu Dato’ Ir. Hasni Mohamad.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, PH bagaikan tidak menyelami kegusaran rakyat yang sedang berdepan masalah ekonomi dan lain-lain ketika ini akibat wabak Covid-19.

- Advertisement -

Menurut beliau, PH memilih untuk terus merebut kuasa setelah kerajaan dipegang mereka jatuh kerana kemelut dalaman mereka sendiri.

“Mereka sibuk mempersoalkan kuasa Raja yang telah menurunkan mereka dari memegang tampuk kerajaan.

“Sedangkan mereka lupa Tuanku Sultan hanya berusaha menstabilkan kerajaan akibat ketidakstabilan komponen parti mereka iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berpecah kepada dua puak,” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

Beliau berkata, satu pihak daripada PPBM menyokong Pakatan Harapan (PH) dan satu lagi menyokong Perikatan Nasional (PN).
Katanya, mereka seolah lupa Fasal 23(2) Undang Tubuh Negeri Johor 1895 yang memberikan hak kepada raja untuk menubuh dan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Tambah beliau, konflik dalaman yang ditonjolkan kepada rakyat kebanyakan di sepanjang tempoh pemerintahan mereka sangat membosankan rakyat.

“Keputusan istana adalah kebijaksanaan yang mengeluarkan rakyat dari rasa muak dengan pertelingkahan pemimpin yang tidak berkesudahan,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia memilih untuk terus bersatu di bawah Tuanku Sultan bagi menjamin keamanan dan kestabilan politik.

Langkah itu katanya adalah penting sebelum negara dapat memacu pelan ekonomi yang telah dirangka bagi membantu rakyat menghadapi ujian ini.

Menurut beliau, ketidakstabilan politik boleh mengakibatkan rusuhan seperti yang dialami rakyat Amerika sekarang dalam keadaan negara yang demokrasi tanpa campur tangan raja itu sudah sama seperti zon perang.

Katanya, pada masa yang sama Dewan Muslimat PAS bersedia sekiranya Tuanku Sultan memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor.

“Setelah pemimpin-pemimpin PH lebih fokus mengenai kuasa di saat rakyat berdepan cabaran pandemik, maka sebaiknya hak untuk memilih pemimpin yang wibawa dan memimpin mereka keluar dari masalah yang sedang melanda negara dikembalikan kepada rakyat,” katanya.- HARAKAHDAILY 5/6/2020

- Advertisement -