Khutbah Hari Raya Aidil Fitri 1441

- Advertisement -

KHUTBAH PERTAMA


اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا

وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ حَمۡدًا كَثِيرًا مُبَارَكًا فِيهِ. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡمُلۡكُ وَلَهُ الۡحَمۡدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيۡءٍ قَدِيرٌ وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، الۡبَدۡرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الۡمُنِيرِ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ أَشۡرَفِ الۡأَنۡبِيَاءِ وَالۡمُرۡسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ أَجۡمَعِينَ، وَالتَّابِعِينَ بِإِحۡسَانٍ إِلَى يَوۡمِ الدِّينِ أَمَّا بَعۡدُ

فَيَا عِبَادَ اللَّهِ اتَّقُوا اللَّهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ الزَّادِ التَّقۡوَى، فَقَدۡ فَازَ الۡمُتَّقُونَ

“Wahai hamba-hamba Allah! Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya) dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertakwa. Maka berjayalah mereka yang bertakwa.”

- Advertisement -

Marilah kita mensyukuri nikmat Allah yang masih memberi kita peluang pada hari ini untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh keberkatan dan kemuliaan.

Tahun ini kita menyambut hari raya dalam suasana yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, Solat Sunat Aidil Fitri diadakan di rumah dan tidak dibenarkan untuk balik ke kampung masing-masing.

Walaupun kita rasa sedih dan hiba menyambutnya, namun Islam mengajar supaya kita bersabar, bertawakkal, bersyukur dan redha dalam menghadapi wabak COVID-19 ini.

Pastinya diganjarkan pahala oleh Allah S.W.T dengan fadhilat dan kelebihan. Fadhilat syahid bagi mangsa yang meninggal dunia, fadhilat bersabar menghadapi ujian kerana bertugas dan kesakitan, fadhilat bertawakkal kepada Allah S.W.T setelah berusaha dan berikhtiar dan fadhilat bersyukur sekiranya berjaya mengharungi ujian yang dihadapi.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Selamat tinggal Ramadan tahun ini, bulan yang sentiasa dirindukan kerana keberkatan dan fadhilatnya. Insya-Allah selamat bertemu lagi pada tahun hadapan, jika dipanjangkan umur dalam keadaan sihat wal ‘afiat.

Panjatkan doa ke hadapan Allah S.W.T agar dikurniakan kesihatan yang dihiasi dengan taqwa dan dilanjutkan usia dengan melakukan amal soleh. Semua itu merupakan kelebihan yang diterima oleh Allah S.W.T sekiranya beristiqamah bersama Islam yang sebenar.

Istiqamah bersama Islam yang sebenar-benarnya itu ialah menjaga iman dan melaksanakan amalan dengan betul mengikut ajaran Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Ia dapat ditunaikan dengan sempurna dalam perkara yang mampu dilaksanakan dengan niat yang ikhlas, serta berazam melakukan perkara yang tiada kemampuan sehingga adanya peluang dan tiba masanya.

Sabda Rasulullah S.A.W dalam satu Hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Allah S.W.T yang berfirman:

“إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً.” – رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya ditulis segala amalan yang baik dan jahat, Kemudian Dia menyatakan, “Sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan amalan yang baik,  belum tiba lagi melaksanakannya, dituliskan untuknya satu pahala yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita kemudian melaksanakannya, dituliskan bagi dirinya kadar pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Sehingga ada yang digandakan kepada tujuh ratus kali ganda dan  beberapa kali ganda lagi. Sekiranya ada yang bercita-cita ingin melakukan kejahatan, tiba-tiba tidak melakukannya, dituliskan untuknya satu pahala yang sempurna bagi amal yang baik, sekiranya dia melakukan kejahatan itu, dituliskan satu dosa sahaja.”
(Riwayat al-Bukhari 6491 dan Muslim 131)

Alangkah melimpahnya rahmat Allah S.W.T kepada seseorang yang beriman walaupun diri mereka melakukan kejahatan, kemudiannya insaf. Oleh itu, pentingnya mempunyai iman atau akidah yang betul, yang sangat bernilai di sisi Allah S.W.T. 

Betapa besarnya iman itu sehingga diriwayatkan di dalam hadis yang sahih, bahawa di Hari Akhirat nanti ada orang yang mendapat rahmat Allah S.W.T kerana iman yang dimilikinya, sekalipun dirinya mempunyai dosa yang sangat banyak, sehingga sayup mata memandang dan putus pengharapannya untuk membebaskan diri daripada api neraka.

Tiba-tiba dosa-dosanya diampunkan oleh Allah S.W.T dan terus masuk ke Syurga kerana mempunyai iman dan percaya bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah walaupun tanpa amalan yang soleh kerana kejahilan atau ketelanjurannya.

Sebaliknya pula Allah S.W.T menegaskan bahawa seseorang yang kafir dan syirik menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dengan mengadakan Tuhan selain daripada Allah, maka akan ditolak semua amalan baiknya di Hari Akhirat nanti.

Firman Allah:

﴿قُلۡ أَفَغَيۡرَ ٱللَّهِ تَأۡمُرُوٓنِّيٓ أَعۡبُدُ أَيُّهَا ٱلۡجَٰهِلُونَ٦٤ وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٦٥ بَلِ ٱللَّهَ فَٱعۡبُدۡ وَكُن مِّنَ ٱلشَّٰكِرِينَ٦٦﴾ الزمر: 64-66
“Katakanlah (wahai Muhammad SAW, kepada orang-orang musyrik itu, “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, wahai orang-orang yang jahil?”(64); Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad S.A.W) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu, “Demi sesungguhnya, jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) menyekutukan (sesuatu selain daripada Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi. (65); “(Janganlah menyembah selain daripada Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur (66).”
(al-Zumar: 64-66)

Betapa keras amaran Allah S.W.T terhadap sesiapa yang rosak atau tidak ada iman yang sebenar. Seakan mustahil berlaku sekalipun kepada para Rasul A.S, termasuk Rasul akhir zaman Nabi Muhammad S.A.W yang maksum, akan tetap ditolak segala amal soleh mereka, sekiranya melakukan perbuatan syirik terhadap Allah kerana telah terbatal iman mereka.

Suatu perkara yang mustahil berlaku kerana Rasul A.S dipilih dan dipelihara oleh Allah S.W.T untuk menyampaikan Islam dan menjadi contoh teladan kepada seluruh manusia. Namun, Allah S.W.T menunjukkan amaran yang paling keras kepada sesiapa yang tidak beriman atau merosakkan iman dan aqidah mereka.

Firman Allah S.W.T:

﴿وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَعۡمَٰلُهُمۡ كَسَرَابِۢ بِقِيعَةٖ يَحۡسَبُهُ ٱلظَّمۡ‍َٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡ‍ٔٗا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٣٩﴾ النور: 39
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakan air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arah itu) sehingga apabila mereka datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun apa yang disangkakan itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah daripada amal mereka sebagaimana yang disangkakan) dan mereka tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya.”
(al-Nur: 39)

Maka sejahat-jahat orang yang beriman tetap lebih baik daripada sebaik-baik orang yang kafir dalam perjalanan hidup di dunia sehingga Hari Akhirat.

Islam hanya mengizinkan muamalat kehidupan dunia dan bermasyarakat dengan bukan Islam secara baik. Namun, mengharamkan diberikan wala’ (kesetiaan) kepada bukan Islam demi kepentingan duniawi tanpa perhitungan akhirat, sehingga menggadaikan prinsip aqidah dan syariat Allah SWT termasuk perkara-perkara yang dinaskan tanpa diizinkan berijtihad. Sirah Nabawiyyah menjadi model batas sempadan berpandukan petunjuk Allah S.W.T daripada al-Quran.

Adapun amal soleh yang dibina di atas landasan iman atau aqidah yang menjadi jambatan menuju ke alam akhirat sangat luas lapangannya, sama ada dalam perkara jasad, roh dan akal, serta seluruh cara hidup termasuk dalam hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia sesama manusia terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat, dan hubungan dengan makhluk lain seperti binatang, tumbuhan dan lain-lain. Termasuk juga dalam perkara ibadat, kebajikan diri dan akhlak yang mulia berdasarkan iman, berkebajikan dan akhlak yang mulia.

Ramadhan adalah madrasah (sekolah) yang membina saykhsiah (jati diri) yang disimpulkan oleh firman Allah:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٨٣﴾ البقرة: 183
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(al-Baqarah: 183)

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dengan kewajipan beriman dan beramal soleh, khususnya ibadat puasa yang bersifat jasad, roh, akal dan harta, serta membentuk keinsafan dalam bermasyarakat yang berpandukan kepada petunjuk al-Quran dengan menghayati sifat-sifat Allah S.W.T, khususnya sifat Kalam dan Ilmu. Juga meyakini bahawa Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Suci daripada segala kekurangan.

Puasa juga mendidik kepercayaan kepada perkara yang ghaib, di antaranya percaya kepada para malaikat yang mulia dan perhitungan dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Maka kemuncak jati diri seseorang di sisi Allah S.W.T ialah sifat taqwa yang menentukan martabat manusia, sama ada menjadi lebih mulia daripada malaikat atau lebih hina daripada binatang.

Allah S.W.T memilih agar diturunkan al-Quran pada bulan Ramadhan ke langit dunia sebelum diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W untuk menjadi petunjuk kepada manusia yang ditugaskan sebagai khalifah di atas bumi dan ditarbiah dengan kewajipan berpuasa untuk menentang hawa nafsu sendiri walaupun dalam perkara yang menjadi rukun kehidupan manusia, apatah lagi dalam perkara yang diharamkan.

Allah S.W.T menegaskan konsep iman yang sebenar berpandukan firman-Nya:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾ الأحزاب: 36
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dirinya telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(al-Ahzab: 36)

Ramadan bukan sahaja dilihat dari segi besar ganjaran pahala dan fadhilat amalannya, tetapi juga peranan dalam mendidik orang yang beriman supaya mengeratkan hubungan dengan Allah S.W.T melalui amal ibadat yang menjadi tujuan manusia diciptakan dan melaksanakan kewajipan khilafah (mentadbir) bumi serta memakmurkannya dengan menunaikan amanah yang sebenarnya.

Seterusnya menunaikan kewajipan melaksanakan syariat Allah yang sempuna, adil dan berhikmah oleh manusia yang jauh perjalanannya menuju wawasan yang tidak tamat dengan kematian seperti dalam cerita filem yang riwayat kehidupan di dunia sahaja.

Firman Allah S.W.T:

﴿كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَكُنتُمۡ أَمۡوَٰتٗا فَأَحۡيَٰكُمۡۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ٢٨ هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبۡعَ سَمَٰوَٰتٖۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ٢٩﴾ البقرة: 28-29
“Bagaimana kamu tergamak kufur kepada Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada Hari Akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan). (28); Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala apa yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikan tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (29).”
(al-Baqarah: 28-29)

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥ فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡحَقُّۖ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡكَرِيمِ١١٦﴾ المؤمنون: 115-116
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami (Allah) hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada penciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (115); Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah yang Menguasai seluruh alam, lagi yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.”
(al-Mu’minun: 115-116)

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ فِي ٱلۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ لِي وَلَكُمۡ وَلِجَمِيعِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.



KHUTBAH KEDUA

ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، وَلِلَّهِ الۡحَمۡدُ.

أَشۡهَدُ أَنۡ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحۡدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. أَمَّا بَعۡدُ:

فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، أُوصِيكُمۡ وَإِيَّاىَ بِتَقۡوَىٰ اللَّهِ فَقَدۡ فَازَ الۡمُتَّقُونَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ الزَّادِ التَّقۡوَىٰ.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Marilah pada hari raya ini kita meraskan betapa besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah S.W.T.  Hanya kematian di dalam iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah, sebagaimana firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ١٠٢﴾ آل عمران: 102
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan beragama Islam.”
(Ali Imran: 102)

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagamanya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا يُؤۡمِنُ أَحَدُكُمۡ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحَبُّ لِنَفۡسِهِ. رواه البخاري
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri.”
(Riwayat Bukhari)

Sehubungan itu, hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam akan perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata dunia, sama da mereka yang dilanda peperangan, kemiskinan dan kebuluran, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti yang berlaku di Palestin, Syria, Yaman, Rohingya, Uighur, Kashmir dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa dan munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kesaliman.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini, marilah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan.

Ini sebagai tanda kasih kita kepada Baginda Nabi S.A.W yang dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam al-Quran:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا٥٦﴾ الأحزاب: 56
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya(56)”
(al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ. وَبَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكۡتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آلِ إِبرَاهِيمَ فِى الۡعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اَللَّهُمَّ اغۡفِرۡ لِلۡمُؤۡمِنِينَ وَالۡمُؤۡمِنَاتِ وَالۡمُسۡلِمِينَ وَالۡمُسۡلِمَاتِ الۡأَحۡيَآءِ مِنۡهُمۡ وَالۡأَمۡوَاتِ. رَبَّنَا اغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَذُنُوبَ وَالِدِينَا وَارۡحَمۡهُمۡ كَمَا رَبَّوۡنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغۡفِرۡلَنَا وَلِإِخۡوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالۡإِيمَانِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الۡإِسۡلَامَ وَالۡمُسۡلِمِينَ، وَأَذِلَّ الشِّرۡكَ وَالۡمُشۡرِكِين، وَالنِّفَاقَ وَالۡمُنَافِقِينَ، وَالظُّلۡمَ وَالظَّالِمِينَ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجۡعَلُكَ فِى نُحُورِ أَعۡدَآئِنَا وَنَعُوذُ بِكَ مِنۡ شُرُورِهِمۡ. اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيۡدَهُمۡ عَلَى نُحُورِهِمۡ. اَللَّهُمَّ بَدِّدۡ شَمۡلَهُمۡ وَفَرِّقۡ جَمۡعَهُمۡ وَشَتِّتۡ كَلِمَتَهُمۡ وَزَلۡزِلۡ أَقۡدَامَهُمۡ، وَسَلِّطۡ عَلَيۡهِمۡ كَلۡبًا مِنۡ كِلَابِكَ.

اَللَّهُمَّ انۡصُرۡ إِخۡوَانَنَا الۡمُجَاهِدِينَ وَالۡمُسۡتَضۡعَفِينَ فِى فَلَسۡطِينَ، وَفِى غَزَّةِ، وَفِى الۡعِرَاقِ، وَفِى سُورِيَا، وَفِى كَشۡمِير، وَفِى جَنُوۡبِ تَايۡلَنۡد، وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمۡ، وَاجۡمَعۡ كَلِمَتَهُمۡ، وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَهُمۡ، وَانۡصُرۡهُمۡ عَلَى أَعۡدَآئِهِمۡ. 

اَللَّهُمَّ آتِ أَنۡفُسَنَا تَقۡوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنۡتَ خَيۡرُ مَنۡ زَكَّاهَا، أَنۡتَ وَلِيُّهَا وَمَوۡلَاهَا. اَللَّهُمَّ أَرِنَا الۡحَقَّ حَقًّا وَارۡزُقۡنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الۡبَاطِلَ بَاطِلًا وَارۡزُقۡنَا اجۡتِنَابَهُ. اَللَّهُمَّ أَصۡلِحۡ سُلۡطَانَنَا، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلَاةَ أُمُورِنَا، وَاجۡعَلۡ وِلَايَتَنَا فِى مَنۡ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الۡعَالَمِينَ.

رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ. رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ  إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ. رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَسَلَّمۡ. وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ.
ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، وَلِلَّهِ الۡحَمۡدُ.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 22/5/2020

- Advertisement -