Rakyat selesa dengan cara PM hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan politik negara kembali hangat dengan beberapa usul undi percaya dan usul undi tidak percaya dilontarkan kepada Speaker Dewan Rakyat menjelang persidangan pada 18 Mei ini.

Susulan itu, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menggesa ahli politik terbabit agar berlaku ihsan kepada rakyat yang dihimpit pelbagai masalah ketika ini.

“Keadaan rakyat pada ketika ini sangat tertekan dan terbeban dengan impak wabak Covid-19, kemelesetan ekonomi, kejatuhan harga minyak dunia, hilang peluang pekerjaan, dan terpaksa bergadai harta benda demi kelangsungan hidup.

- Advertisement -

“Berlaku ihsanlah kepada rakyat agar kerajaan dan Perdana Menteri dapat memberi fokus kepada agenda rakyat, bukan agenda politik peribadi sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat sekarang ini mahukan pemimpin yang mampu menerajui negara ketika krisis, terbukti Perdana Menteri hari ini berserta Jemaah Menteri Perikatan Nasional, terbukti berjaya menangani krisis dengan bijaksana dan berhemah.

“Di saat negara berkemungkinan akan menghadapi gelombang baru wabak COVID-19, mengapa segelintir ahli politik Pakatan Harapan seolah-olah rakus mendambakan kuasa tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat dalam situasi genting semasa?” Soalnya.

Berikutan itu, pihaknya menyeru ahli Parlimen pembangkang untuk fokuskan tenaga, masa dan keringat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Jelasnya, masa yang diberikan selama 22 bulan PH memerintah Malaysia telah dipersia-siakan dengan janji harapan palsu yang ditabur.

“Masa kalian semua telah tamat di saat Perdana Menteri Pakatan Harapan meletak jawatan dan meranapkan kerajaan Pakatan Harapan itu sendiri. Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan demi kelangsungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya rakyat juga tidak seharusnya dibebankan dengan percakaran dalaman parti politik, khususnya PPBM yang kini berpecah kepada dua kem.

Berkata Syahir rakyat kini sudah muak dan mual dengan keadaan percakaran politik PH.

Sementara itu, katanya mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional terus bekerja untuk rakyat sehingga PRU-15 nanti dengan kualiti pemimpin dan kepimpinan kerajaan kali ini jauh melangkaui prestasi jemaah Menteri PH.- HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -