Saya pernah menyewa di Selangor Mansion

- Advertisement -

APAPUN warna yang diberi kepada kawasan sekitar Selangor dan Malayan Mansion berikutan tumpuan serangan Covid-19 terhadap orang pilihannya, kawasan itu boleh dikira kawasan hitam masa ini.

- Advertisement -

Ratusan orang menghuni rumah pangsa sesak itu tidak dikira kawasan kediaman selesa lagi, tetapi ia boleh dikira sebagai sarang pekerja asing mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Saya pernah menyewa di Selangor Mansion apabila saya diperintah pindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur oleh majikan saya Utusan Melayu tahun 1966. Saya sangkut di situ atas cadangan Khalid Jefry, rakan sekerja di pejabat yang menyewa di situ. Kami berkongsi bertiga sebilik di unit tiga bilik. Kebanyakan yang meyewa ialah orang bujang yang bekerja di Kuala Lumpur. Masing-masing berkongsi bertiga dan berempat sebilik.

Kerana kebanyakannya hanya balik ke situ sebelah malam dan siangnya kosong, maka kita tidak dapat mengenal semua penyewa di situ. Saya tidak tahu antara yang menyewa masa itu adalah saudagar pasar raya Maidin yang masa itu belun jadi saudagar.

Dua rumah pangsa itu boleh dikira kediaman mewah. Selain ia dihuni oleh peniaga Indian Muslim, ia disewa oleh bujang makan gaji.

Selangor Mansion dan Malayan Mansion masa itu selain berjiran dengan Masjid India, ia jua berjiran dengan kawasan kotor dan sesak yang dikenali sebagai Belakang Mati. Belakang Mati ada kawasan setingan yang dikira sarang pelacuran murah. Siapa yang dahaga nafsu boleh melepaskan dahaganya baik siang atau malam sekadar bayaran 3 atau empat ringgit sahaja.

Dari tingkat tujuh saya nampak orang yang berulang ke Belakang Mati. Ia adalah kawasan sesak dari Selangor Mansion hinggalah ke sempadan balai polis Dang Wangi Sekarang. Ia terpisah oleh sungai dengan Jalan Ampang.

Siapa yang hendak ke Jalan Ampang mesti melalui Jalam Melayu dan Jalan Melaka atau melalui Jalan Cambel yang Balai Polis Dang Wangi sekarang terus ke Jalan Ampang.

Kawasan Masjid India itu tumpuan ramai orang. Di Jalan Melayu penuh kedai gunting rambut, sebelah Masjid India banyak gerai nasi campur. 50 sen cukup dengan ikan kembung goreng. Orang Melayu ramai ke Selangor Mansion kerana ia ada kedai buku Indonesia.

Saya selesa dengan tempat itu kerana ia tidak jauh dari mahkamah yang saya selalu ditugaskan di situ.

Saya tidak pergi di pejabat. Pukul 9 saya bertolak ke mahkamah atau sibuk mencari berita kerana kawasan itu banyak sumber berita. Pukul satu setengah saya balik ke bilik. Saya ada sebuah mesin taip di bilik. Semua berita dari mahkamah dan lain-lain yang saya sempat pungut saya siapakan di bilik sewa itu. Saya sempat tidur tengah hari di rumah. Pukul 4 petang saya berangkat balik ke pejabat dan menyerahkan semua berita yang saya siapkan di rumah sewa.

Bila semua orang mulai balik pukul 5, saya pun balik sama. Maka lama juga saya tinggal di Selangor Mansion. Dari bilik sewa itu saya mula melihat Belakang Mati mula diroboh untuk dimajukan sebagai kawasan perniagaan yang sesak sekarang. Belakamg mati mai di depan perhatian saya.

Selangor Mansion dan Malaysian Mansion adalah tumpangan budak buang. Bila mereka kahwin, mereka pindah dari situ. Lama kelamaan setiap bilik diisi oleh pekerja asing hingga berpuluh-puluh dalam satu unit.

Kerana kawasan Masjid India itu kawasan perniagaan sesak sudah lebih 10 tahun saya tidak ke situ. Ia jadi ingatan semula kerana Covid-19 menyerangnya.

- Advertisement -