Usah tular berita tidak pasti – Jabatan Kesihatan

Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan membuat saringan berfokus terhadap pelajar dan penghuni pondok yang dikenal pasti berisiko tinggi termasuk Pondok Pasir Tumbuh.

Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata, saringan itu dibuat sebagai tindakan pencegahan dan kawalan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarah semua Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan saringan tersebut.

“Semasa saringan dilaksanakan Pejabat Kesihatan Kota Bharu mendapati terdapat 15 pelajar Pondok Pasir Tumbuh yang mempunyai gejala suhu badan yang tinggi serta batuk.

“Mereka dihantar ke Pusat Kuarantin di Hospital Tengku Anis sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung saringan yang dijalankan di Pondok Pasir Tumbuh dengan kehadiran petugas berpakaian sut peralatan keselamatan diri (PPE).

Oleh itu Dr Zaini berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dan menularkan berita yang tidak pasti terutamanya di media sosial kerana boleh menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu bekas ADUN Pasir Tumbuh Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kedatangan petugas Pejabat Kesihatan untuk mengesahkan kawasan pondok selamat daripada wabak.

Katanya, saringan dilakukan bagi memastikan pelajar dan penghuni pondok berkenaan tidak ada hubungan dengan kluster tertentu.- HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -