Covid-19: Semua ADUN di Kelantan diagih RM70k

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang kerajaan Kelantan membelanjakan RM3.15 juta bantuan kebajikan kepada rakyat yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Khas Menteri Besar Mohd Hushaimi Hussian berkata, setiap Pusat Khidmat DUN (PKD) menerima RM60,000 bagi tujuan tersebut.

Selain itu setiap PKD juga menerima tambahan RM10,000 yang diagih melalui Pejabat Tanah dan Jajahan bagi penyediaan bakul makanan.

“Sebanyak RM450,000 daripada RM3.15 juta yang diperuntuk kerajaan negeri disalurkan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan.

“Peruntukan berkenaan tidak termasuk apa yang diumumkan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob baru-baru ini,” katanya di sini.

Difahamkan bantuan Covid-19 kepada rakyat yang terjejas disalur terus kepada semua wakil rakyat melalui PKD.

Penyelia DUN Paloh Ustaz Azman Ahmad berkata, peruntukan sebanyak RM60,000 yang diagih kerajaan negeri disalur terus kepada PKD termasuk diwakili Umno.

Katanya, bantuan tersebut disalur terus melalui wakil-wakil rakyat bagi membolehkan mereka membantu rakyat yang terkesan akibat PKP sekarang.

Anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, bantuan Covid-19 di Kelantan diagih sama rata kepada semua wakil rakyat bagi memberi bantuan segera kepada rakyat yang terjejas.- HARAKAHDAILY 17/4/2020

- Advertisement -
- Advertisement -