Perakuan buat Muhyiddin, iktiraf kerajaan sah

Anwar temui Perdana Menteri, PN bukan 'kerajaan pintu belakang'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibahim telah mengadakan pertemuan pada kunjungan hormat Ahli Parlimen Port Dickson itu ke Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam.

Advertisement

Dimaklumkan Anwar, dalam pertemuan selama 45 minit itu Muhyiddin menjelaskan berkenaan langkah menangani COVID-19 dan beliau menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan. Pakej rangsangan yang diumumkan turut disambut baik, namun harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi.

“Beliau (Muhyiddin) juga menyinggung cadangan Sidang Parlimen pada 18 Mei ini dan masalah terkait COVID-19. Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau,” ujarnya.

Lawatan tersebut sekali gus menjadi perakuan Anwar terhadap kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan pengiktirafan bahawa Perikatan Nasional bukan ‘kerajaan pintu belakang’ sebagaimana dituduh sesetengah pihak. – HARAKAHDAILY 15/4/2020