Agenda besar ‘new normal’

besar
- Advertisement -

DALAM perutusan khasnya kepada rakyat Malaysia pada hari Jumaat 10 April lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan satu perubahan besar bakal berlaku dalam kehidupan seharian rakyat selepas melalui ‘Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)’ angkara peperangan terhadap COVID-19 ini.

Setelah kehidupan dan pergerakan kita dikawal selama beberapa fasa, kita menjadi semakin prihatin dan peka terhadap aspek kesihatan peribadi, keluarga dan masyarakat.

- Advertisement -

Pengalaman ini bakal membuka ruang kepada beberapa perubahan dalam gaya dan cara hidup kita, sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri (PM) dalam ucapannya:

“… kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan the ‘new normal’ atau kebiasaan baharu.”

Rakyat Malaysia dijangka akan lebih sensitif terhadap persekitarannya. Dan sensitiviti ini akan membangkitkan perubahan dalam kehidupan yang sebelum ini tidak pernah kita amalkan. Apa pun jika ia membawa kepada kebaikan dan keselamatan buat semua, maka ‘new normal’ itu pasti diterima dan diamalkan menggantikan amalan dan kebiasaan terdahulu.

Justeru walau kita menempuh kesukaran sehingga ada yang terkorban, namun pengalaman ini cukup berharga kerana ia mendidik dan membuka mata kita agar menjadi insan dan komuniti yang lebih berhati-hati dan sentiasa memberi tumpuan pada aspek keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

Dalam perspektif yang lebih luas ujian dari Allah S.W.T ini menginsafkan kita betapa banyaknya kita telah lalai dan meninggalkan perintah dan peraturan Allah S.W.T selama ini, sehingga diujinya kita dengan ujian yang cukup mencabar demi membuktikan betapa lemahnya kita berbanding kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Lantas atas keinsafan ini kita juga, pemimpin negara dan rakyat jelata wajib bangkit dengan aturan ‘new normal’ kita sendiri. Kita jangan lagi amalkan perkara yang mengundang murka Allah S.W.T kerana kita telah melihat pengalaman COVID-19 atas kehidupan kita dan negara. Bayangkan jika Allah mengenakan ujian yang lebih besar dari itu.

Negara perlu beransur-ansur dibersihkan dari segala jenis kemungkaran dan gejala yang dilarang Allah S.W.T dari peringkat terendah hinggalah teratas. Ini tanggungjawab kita bersama kerana negara ini negara kita dan kepercayaan kepada Tuhan mengikat seluruh kita rakyat Malaysia.

Hari ini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara yang didukung pula oleh parti-parti lain termasuk rakan-rakan dari Sarawak dan Sabah memiliki kuasa politik.

Yang memegang tonggak kuasa hari ini adalah majoriti pemimpin Melayu Islam yang sewajarnya insaf dan mengambil iktibar dari ujian Allah S.W.T ini.

Di belakang mereka adalah rakyat jelata yang juga majoriti Melayu Islam selain yang bukan Islam yang turut mahu negara ini menjadi selamat dan sejahtera buat semua. Melalui ‘new normal’ teruslah kita mengukuhkan kesatuan dan perpaduan umat Melayu Islam agar tidak berbalah dan berpecah lagi kita sehingga rugi umat Melayu keseluruhannya.

PAS, Umno dan BERSATU perlu memandang ke hadapan dan meninggalkan segala amalan lama dan terus mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap PN agar terus kekal negara dalam genggaman anak-anak bangsa.

Segala amalan rasuah, salah guna kuasa, kronisma, nepotisma yang jijik dan memalukan bangsa dan agama mestilah tiada lagi dalam amalan ‘new normal’ pemimpin-pemimpin PN. Jangan sekali-kali terpalit dengan kemungkaran seumpama ini hingga hilang keyakinan rakyat pada kita dan lebih parah lagi Allah S.W.T berpaling dari kita.

Syukur yang Allah S.W.T masih kasih dan sayangkan kita, maka jangan kita sekali-kali membuka ruang untuk mengundang murka-Nya, mana yang telah sedia terbuka perlu kita beri perhatian dan teliti bagaimana mahu mengubah dan memperbetulkannya. Mana yang tidak terbuka jangan pula kita terpesona untuk membukanya walau seinci.

Yang penting pimpinan tertinggi mesti ada keinsafan dan iltizam untuk bergerak ke arah kebaikan demi agama, bangsa dan negara. Kekayaan dan kemakmuran negara mestilah turut dikecapi oleh rakyat jelata. Jangan sekali-kali pinggirkan rakyat demi kepentingan yang lain.

Pastikan segala bentuk bantuan dan subsidi Kerajaan, yang terbaru, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) umpamanya turun tepat pada sasaran tanpa sesiapa pun tercicir. Umat Melayu dan Bumiputera jangan lagi dibiarkan terus merempat di bumi mereka sendiri. Masyarakat peneroka FELDA dan tanah-tanah rancangan lain, nelayan, pesawah, penoreh getah, pekebun kecil, peniaga-peniaga kecil, warga emas dan para pesara jangan terlepas dari perhatian dan keutamaan Kerajaan.

Semua yang susah dan perlu dibantu pastikan diberi perhatian termasuklah masyarakat Orang Asli dan masyarakat bukan-Melayu di kalangan B40. Melalui kuasa politik Kerajaan perlu memperkenalkan ‘new normal’ yang sentiasa menuju ke arah menegak yang makruf. Kesedaran dan kefahaman agama perlu diperkasakan, institusi agama yang punya hubungan rapat dengan umat Melayu mesti dimartabatkan.

Menginsafi pengajaran dari COVID-19 sewajarnyalah kita menggunakan kuasa politik itu membawa ‘new normal’ demi mengelak negara ini jatuh bawah murka Allah S.W.T sehingga mudah bala dan bencana jatuh menimpa kita. Dalam peperangan kita menghadapi ancaman wabak merbahaya ini kita bukan hanya mahu memutuskan rantaian COVID-19 tetapi kita juga tidak mahu memutuskan hubungan kita dengan Allah S.W.T.

Jika dahulu kita resah dan muram apabila kuasa politik Melayu Islam terpinggir lantaran perpecahan ummah ketika Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP berkuasa, hari ini PH sudah tidak berkuasa lagi. Kita yang memegang tampuk kuasa, lalu bersyukurlah dan gunakanlah ia sehingga terserlah bumi Malaysia ini sebagai ‘Baldatun Tahyyibatun Wa Rabbun Ghafur’ iaitu Negara yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/4/2020

- Advertisement -