Tempoh PKP dilanjut hingga 14 April

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memutuskan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

- Advertisement -

Keputusan berkenaan dibuat selepas trend semasa menunjukkan kes-kes positif wabak Covid-19 yang baharu masih berlaku.

Katanya, trend ini dijangka akan berterusan meningkat untuk beberapa ketika sehingga angka trend kes baharu menurun.

“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

“Saya memaklumkan tempoh pelanjutan ini lebih awal supaya saudara dan saudari lebih bersedia,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada tengah hari tadi.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia kekal berada di mana mereka sedang berada ketika ini sehingga tempoh 14 April depan.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia mental dan fizikal untuk duduk diam di rumah bagi tempoh yang lebih lama.

Ulasnya, strategi kerajaan pada ketika ini adalah mengesan, menyaring dan merawat pesakit Covid-19 malah Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala lebih besar.

Justeru itu katanya, strategi tempoh pergerakan orang ramai mesti terus dikawal dengan erti kata lain usaha kerajaan ingin mencegah jangkitan dengan cara orang ramai tidak dijangkiti wabak Covid-19 menerusi pergaulan harian.

HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -