Tiada yang pelik: Ustaz Idris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada yang pelik apabila pemimpin PAS dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri dalam kementerian selain kementerian agama.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berikutan ramai pihak yang pelik apabila wakil pemimpin parti itu kini berada dalam Jemaah Menteri Kabinet diletak di kementerian selain keagamaan.

Katanya, pemimpin PAS pernah diletakkan dalam pelbagai kementerian ketika parti itu bersama kerajaan campuran dahulu.

- Advertisement -

“Kementerian yang diamanahkan kepada PAS ketika dalam Kerajaan Campuran kemudian BN seperti Dato Asri Muda (Menteri Tanah dan Tugas Khas (Agama); Dato Hassan Adli (Menteri Buruh dan Wilayah);Dato Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan); Ustaz Yusuf Rawa (Timbalan Menteri Perusahaan Utama), kemudian duta ke Iran dan Dato’ Mustafa Ali (Timbalan Menteri Sains Dan Teknologi).

“Tiba-tiba ada orang pelik apabila orang PAS pegang kementerian selain, kementerian agama,” katanya kepada Harakahdaily.

Seramai lapan pemimpin PAS telah dilantik menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional, tiga daripadanya sebagai Menteri dan lima lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Timbalan Presidennya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar; Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan,Perladangan dan Komoditi.

Lima wakil PAS yang dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim (Kementerian Sumber Manusia); Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Kementerian Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary (Jabatan Perdana Menteri); Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).

Jelas Idris, meskipun kepimpinan PAS semasa bersama BN dahulu belum ramai yang profesional, namun PAS mampu melaksanakan amanah dengan baik untuk negara.

“Alhamdulillah sekarang sudah ramai pakar-pakar dalam berbagai bidang bersama PAS. InsyaAllah PAS boleh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2020

- Advertisement -