‘Saya balik jadi nelayan pun tak apa’ – Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keutamaan PAS adalah memastikan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, perpaduan, pembangunan insan dan manusia yang mesti dipentingkan dan dititikberatkan.

- Advertisement -

Adapun berkait dengan pelantikan menganggotai Kabinet, PAS mengulangi penegasan bahawa menyerahkan sepenuhnya hal tersebut kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melantik dalam kalangan semua yang layak.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahkan ketika dinyatakan bahawa banyak pihak mahukan beliau dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya menzahirkan sikap merendah dirinya terhadap cadangan itu.

“Saya terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan saya dipilih. Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa, tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara. Terbuka. Yang calonkan saya itu rakyat, orang biasa. Bukan orang biasa yang boleh calonkan, sepatutnya Perdana Menterilah yang mencalonkan.

“Sepatutnya orang itulah, bukan si anu si anu mencalonkan saya. Ada orang syok kalau orang calonkan dia. Saya tak syok orang calonkan saya,” ujarnya pada sidang media khas selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

Malah, beliau mengulangi sebagaimana kenyataan medianya sebelum ini untuk pelantikan itu mengambil kira kemajmukan rakyat, kalangan bukan-Islam, profesional termasuk juga daripada Sabah dan Sarawak, selain berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran.

Ahli Parlimen Marang itu juga sebelum ini menegaskan bahawa dalam hal tersebut PAS tidak ada sebarang syarat atau permintaan, selaim mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengutamakan agenda rakyat dan negara.

“Memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip Federalisma dengan Negeri-Negeri.

“PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan Kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujar beliau dalam sidang media pertama selepas kemelut minggu lalu. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

- Advertisement -