Uyghur dan Rohingya, Amerika vs China

- Advertisement -

PERTEMBUNGAN bersejarah

(1)     Beberapa berita antarabangsa hinggap di pandangan mata kita hari ini. Selain daripada penguasaan kaum wanita dalam politik Findland, antara yang panas ialah perbicaraan Ang San Suu Kyi.

Dahulunya Ang San Suu Kyi dinobatkan sebagai jaguh keamanan, tetapi hari ini menjadi pembunuh rakyat yang tidak berdosa. Itu yang dibicarakan.

(2)     Dalam masa yang sama, hinggap juga di telinga ini isu masyarakat Islam Uyghur yang masih lagi menjadi tanda tanya. Dalam artikel ini, insya Allah kita akan bincangkan kedua-duanya.

(3)     Krisis kemanusiaan yang terjadi di Myanmar saban tahun menyaksikan bagaimana Bangsa Rohingya ditindas dibunuh dengan kejam, dibakar dan sebagainya.

Begitu juga terhadap orang Islam Uyghur sejak puluhan tahun berkrisis dengan Kerajaan China. Bahkan sejak kewujudan Soviet lagi

(4)     Era 70-an Uyghur dilihat menyokong Soviet dan dilihat banyak menyusahkan China. Mereka memberi laluan kepada Soviet untuk masuk Afghanistan.

Manakala ketika itu China mengambil pendekatan menyokong Afghanistan untuk bertembung dengan Soviet. Begitulah antara pertembungan mereka zaman berzaman.

(5)     Begitu juga Rohingya, kumpulan minoriti yang dilihat bertembung dengan Kerajaan Myanmar. Kerajaan Myanmar mengambil langkah membasmi Rohingya atas alasan keganasan.

Berita yang tergantung

(1)     Teka-teki demi teka-teki semakin berselirat. Masing-masing berhadapan dengan sejarah yang panjang, sambil ditambah perisa oleh media-media Barat.

Perlu yakin bahawa tiada saluran yang boleh dipercayai untuk memberitahu realiti mereka. Berita yang ada, boleh lah nak dengar. Tapi kalau nak percaya, boleh letak 50 peratus.

(3)     Dalam mengulas ‘berita yang tergantung’ ini, kita perlu ambil pendekatan berhati-hati supaya tidak tergelojoh mengambil peluru yang bertaburan di perang media.

Bimbang peluru itu ditaja oleh pihak tertentu untuk meraih peluang dalam isu ini. Belajar daripada peristiwa Arab Spring dan banyak lagi kebangkitan apabila media berjaya kuasai naratif.

(4)     Persoalannya ialah, isu ini sudah lama dan berkarat. Dunia selama ini membisu, memekakkan telinga dan membutakan mata. Tetapi mengapa tiba-tiba isu ini jadi hot?

Hari ini Gambia sebuah negara kecil mengheret isu Rohingya ke mahkamah dunia. Satu usaha yang baik. Tetapi Barat pastinya sentiasa mengintai peluang.

(5)     Apa yang zahir ialah Umat Islam di seluruh dunia ditindas. Biasanya penindasan ini pastinya ada tangan tangan belakang yang mencatur.

Manakala Barat perlu sentiasa berada dalam keadaan ‘Mr Clean’ supaya tidak dipersalahkan oleh mahkamah dunia. Maka propaganda perlu dicatur dengan baik.

The Grand Chessboard

(1)     Antara yang boleh difikirkan ialah trend pertembungan antara Amerika vs China. Sebelum ini saya pernah menulis tentang projek The Grand Chessboard.

The Grand Chessboard adalah buku yang dikarang oleh Zbigniew Brzezinski yang diterbitkan pada 1997. Buku ini dianggap menjadi ‘kiblat’ geopolitik.

(2)     Buku ini menggariskan cadangan perancangan bagi Amerika untuk menyekat penguasaan terhadap Eurasia. Klunya ialah;

‘Sesiapa yang menguasai Eurasia, dia akan kuasai dunia’

(3)     Di dalam ‘Muqaddimah’ buku ini Brzezinski menceritakan bahawa sejak benua-benua mula berinteraksi antara satu sama lain dengan saluran politik.

Kira-kira lima ratus tahun yang lalu, Eurasia telah menjadi pusat kuasa dunia. Namun setelah jatuhnya Soviet, kawasan Eurasia dilihat sebagai satu kerompongan untuk di’kuasai’.

(4)     Eurasia adalah kawasan terbesar di dunia, merujuk kepada Eropah + Asia. Kawasan yang menggabungkan 93 buah negara ini, mempunyai keluasan 55 juta kilometer persegi.

Kepadatan penduduk 5.36 billion pada Oktober 2019. Dengan kata lain, sebanyak 70 peratus manusia di dunia ini berada di Eurasia, menjadikan ia kawasan yang ‘panas’

(5)     Penguasaan Amerika terhadap Eurasia bertujuan memastikan kawasan itu ‘tidak bangkit lagi’ sebagai pesaing Amerika seperti Soviet satu ketika dahulu.

Hari ini, antara kuasa yang dilihat mula mendominasi ialah Turki dan China. Sebelum ini saya ada ceritakan tentang Turki, hari ini kita lihat pula realitinya di China

Hong Kong darurat

(1)     Sejak April 2019 sehingga saat ini Hong Kong dilanda dengan revolusi anak muda yang pernah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini tentang ‘Global Protest’.

Hong Kong diisyhtihar darurat pada awal Oktober tahun ini setelah melalui tempoh huru-hara yang panjang dan suara-suara ketidakpuasan hati.

(2)     Bermula daripada sentimen, akhirnya anak-anak muda dibakar dengan ketidak puasan hati terhadap Undang-undang baru. Vandalisme berleluasa dan laluan keretapi terencat.

a-     Jurucakap Majlis Hal Ehwal Hong Kong dan Pejabat Hal Ehwal Macau, Yang Guang, menyatakan kewaspadaan terhadap kemungkinan unsur revolusi yang diwarnakan sedang melanda mereka.

Walaupun agak terlewat mengesannya, namun ia lebih baik daripada membiarkan diri dalam keadaan tiada kesedaran langsung.

b-     Ms Carla Stea, penganalisis geopolitik di Global Research, juga menyatakan penglibatan media Amerika dan Eropah menyokong ketidakstabilan kerajaan di Hong Kong.

c-     Penyelidik Kanan Xing Guangcheng dari Akademi Sains Sosial Cina berkata bahawa revolusi warna yang pernah terjadi di negara-negara Eropah Timur tiada yang menampakkan sesuatu yang positif.

Masing-masing merasakan kewujudan Amerika dalam mencatur huru-hara di Hong Kong. Seolah-olah mirip dengan Arab Spring dan revolusi di seluruh dunia.

Belt and road initiative

(1)     Sejak 2018, hingga 2019 PBB cuba campur tangan dalam isu penghapusan etnik Rohingya. Tetapi hari ini baru ‘terdengar’ tindakan terhadap Myanmar. Kenapa?

Kisahnya masih tergantung. Tetapi perlu diingat bahawa Myanmar merupakan negara sasaran China dalam membangunkan pelbagai projek.

(2)     Antara yang terbaru, laluan Belt and road initiative yang dijangka siap pada 2049. Laluan daratnya melintasi Wilayah Urumqi yang tak jauh dari Xinjiang tempat ledakan isu penindasan Uyghur.

Manakala BRI di laluan laut pula melalui Myanmar, yang terletak di kawasan Rekhine, tempat meledaknya isu penghapusan etnik Rohingya. Adakah ini puncanya?

(3)     Jaringan ekonomi yang dinamakan Inisiatif belt dan road (BRI) digagaskan oleh China pada 2013 adalah laluan darat untuk jalan raya dan pengangkutan kereta api yang dibina merentasi 5 benua, Asia, Afrika, Asia Barat, Eropah dan Amerika.

Jaringan laluan darat ini untuk membina sebuah pasaran besar yang bersatu dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran antarabangsa dan domestik, melalui pertukaran budaya dan integrasi

(4)     Dengan bahasa mudahnya, ia dilihat membesarkan lagi medan tempur ekonomi (battlefield). Projek ini disasarkan tamat pada 2049 , yang bertepatan dengan ulang tahun ke-100 Republik China

Soalan yang perlu difikirkan bersama, adakah isu Uyghur dan Rohingnya ini mula diambil cakna oleh Barat bagi menjadi modal untuk berhadapan pertembungan dengan China? Fikirkan. HARAKAHDAILY 14/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -