PRK Tg Piai: Bukti PH semakin ditolak

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PRK P.165 Tanjung Piai jelas membuktikan penolakan rakyat secara ketara terhadap pemerintahan PH apabila menerima kekalahan berterusan dan kerusi beralih milik.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan tersebut ‘agak tragis’ kerana ia berlaku di kala PH adalah penyandang dan juga pemegang kuasa Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

“Tanjung Piai kawasan peratusan tinggi pengundi Melayu dan Cina. Majoriti tinggi yang diperolehi calon BN adalah gambaran bahawa PH ditolak bukan sahaja oleh orang Melayu, malah orang Cina sekali.

“Ia juga gambaran jelas menzahirkan isyarat bahawa ‘survival’ masa depan politik untuk PRU15 ialah diantara Muafakat Nasional dan PH. Parti lain sudah tak relevan lagi,” katanya semalam.

SPR mengumumkan keputusan rasmi dimenangi calon BN, Wee Jeck Seng dengan 25,466 undian mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini (10,380) dan GERAKAN, Wendy Subramaniam (1,707).

Serta tiga lagi calon iaitu daripada BERJASA, Dato’ Dr Badhrulhisham (850), BEBAS dan Dr Ang Chuan Lock (380) juga BEBAS, Faridah Aryani Abd Ghaffar (32) undi.

Pun begitu beliau mengingatkan Ahli Parlimen baru dari MCA itu agar tidaklah cepat mendongak ke langit kerana jika tersilap langkah boleh tersungkur kembali.

“Politik ada ketikanya ‘straight forward’ tidak ada ‘kona leper’ (belok-belok). Bila rakyat tak suka, kita wajib baiki. Jangan terjebak dengan ‘denial syndrome’, sindrom penafian bermakna anda cuba melindungi diri anda dengan menolak menerima kebenaran mengenai sesuatu yang berlaku,” jelasnya.

Menurut beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Setiu itu, ia jelas membuktikan api kemarahan rakyat semakin membara dengan pemungkiran janji manifesto dalam PRU lalu.

“Cukuplah dengan segala macam janji yang dimungkiri walau janji manifesto bukanlah kitab suci. Kamu boleh bagi pelbagai alasan, akhirnya rakyat yang menjadi hakim. Jangan menyesal andai rakyat menjatuhkan hukuman mati mandatori!

“Kalau ini fenomena di Pantai Barat, maka bagaimana situasi PH di Pantai Timur di mana tempat PH hilang deposit di sebahagian besar kerusi yang ditandingi?” soal beliau.

Dr Azman yang juga Pegerusi Jawatankuasa Pertanian, Insdustri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri mendakwa, rakyat marah dengan tindak tanduk kerajaan PH yang sering membelakangkan mandat PRU14.

“Saya nasihatkan PH secara jujur. Tolonglah jangan buat rakyat marah. Dengarlah untuk kali pertama dan terakhir nasihat ikhlas ini. Lepas ini saya tak nak nasihat lagi

“Rakyat sangat marah kamu nak tubuh MPKKP. Kalau nak tubuh juga silakan. Tapi ingat di Jabi kamu cuma dapat 600 undi lebih dalam PRU 14. Rasa-rasa dengan tubuh MPKKP, undi PH boleh bertambah?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 17/11/2019

- Advertisement -