PH jual RM36 bilion aset negara dalam 500 hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH telah menjual terlampau banyak aset negara iaitu RM35.789 bilion dalam hanya 500 hari pemerintahannya bersamaan purata RM60 juta sehari atau RM2.5 juta setiap jam.

- Advertisement -

Butiran terperinci mengenai perkara itu menjadi pendedahan kali kedua oleh Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

“Ada pihak cuba bandingkan dengan rekod Datuk Seri Najib Razak dahulu melupuskan aset Khazanah sebanyak RM45.3 bilion dalam tempoh 9 tahun. Sedangkan PH baru berkuasa 500 hari, tetapi sudah menjual RM35.789 bilion aset negara.

“Terlampau banyak dijual dalam masa yang singkat. Paling membimbangkan tentulah hakikat bahawa penjualan aset-aset negara di bawah PH ini tidak diganti dengan pembelian aset-aset strategik terkemuka.

“(Ini) Jauh berbeza dengan era BN di bawah Datuk Seri Najib Razak dahulu yang terbukti menyalurkan pula hasil pelupusan aset bagi menjana pelbagai pelaburan strategik yang lain,” ujarnya membedah perkara membimbangkan itu.

Dalam rangkuman semua penjualan dibuktikan Abdul Muein, paling banyak aset negara dijual tersebut adalah kepada Jepun iaitu RM9.605 bilion diikuti China (RM9.11 bilion), serta Singapura (RM7.156 bilion).

Kerisauan turut diketengahkan beliau adalah, disebalik saiz aset negara kian mengecil tanpa pelaburan strategik baru, namun hutang Malaysia telah meningkat naik sebanyak RM124 bilion iaitu kepada RM810 bilion sekarang.

Pensyarah muda yang sedang menyiapkan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) di Belanda itu turut mengemukakan ‘rasional’ penjualan aset negara secara besar-besaran kepada tiga negara asing tersebut.

“Objektif PH dilihat cuba untuk merundingkan kembali kos projek ECRL dan mendapatkan Jho Low (dengan China), cuba untuk mendapatkan Bon Samurai (dengan Jepun), dan mendapatkan kembali dana 1MDB.

“Maka, apabila dihubungkan objektif PH ini, penjualan mega ini boleh dilihat sebagai ‘ganjaran’ demi mencapai objektif-objektif tersebut,” ujarnya yang turut memetik amaran bekas tokoh korporat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, tindakan kerajaan menjual aset negara merugikan Malaysia dalam dua perkara iaitu kalah dua perkara dimana harta itu sudah tiada lagi dan hutang pula memaksa dicari duit lain untuk ditambah lagi.

Demikian itu nasihat Abdul Muein, Kerajaan PH wajib menghentikan serta-merta dasar menjual aset-aset negara kepada kuasa asing secara besar-besaran yang turut diperingat dengan tiga pepatah Melayu.

‘Di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti’

‘Ingat anta belum kena, hemat antara belum habis’

‘Manusia tertarik oleh tanah airnya, anjing tertarik oleh piringnya’. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

- Advertisement -