Chegu Bard buat laporan polis terhadap MB Selangor

    Chegu Bard (dua dari kiri) dalam sidang media berhampiran IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ni, 20 April 2024.
    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Satu laporan polis telah dibuat oleh Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung dakwaan penyelewengan kelulusan tanah yang melibatkan Menteri Besar Selangor.

    Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegu Bard berkata beliau telah menyerahkan kepada IPD berkenaan, satu dokumen surat yang didakwanya bahawa kerajaan Negeri Selangor telah memberikan sebanyak 100.04 ekar tanah di Dengkil kepada syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd.

    - Advertisement -

    “Apa yang berlaku ialah setelah carian dibuat syarikat yang memperolehi tanah itu (Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd.) adalah milik Berjaya Corporation yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Vincent Tan,” katanya.

    Menurut beliau, apabila carian daftar niaga syarikat tersebut (Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd.) dibuat yang sangat mengejutkan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merupakan Lembaga Pengarah secara bersama dengan Vincent Tan.

    Tambah beliau, Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd. tidak boleh digelar sebagai anak syarikat kerajaan negeri, memandangkan kepentingan kerajaan negeri minoriti yang dipegang melalui syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. itu sahaja.

    “Majoriti pegangan milik Berjaya Corporation; dan ia (Landasan Lumayan Sdn. Bhd) adalah anak syarikat Berjaya Corporation, malah daftar syarikat juga guna alamat bangunan Berjaya Corporation.

    “Jelas yang berlaku ialah pertembungan kepentingan sangat serius.

    “Adakah MB umum kepentingannya dan keluar dari mesyuarat ketika mesyuarat kerajaan negeri meluluskan 100.04 ekar tanah tersebut?

    Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan berhampiran IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengerusi NGO Ummah Mohd Zai Mustafa dan mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin (Bos Jebat).

    Sehubungan itu, Chegu Bard menyatakan bahawa dokumen-dokumen carian daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), surat kerajaan negeri bagi tanah lain-lain yang berkaitan juga telah diserahkan kepada IPD Dang Wangi, di sini, pada hari ini.

    “Tujuan saya membuat laporan polis untuk satu tindakan undang undang ke atas jenayah salah guna kuasa serius yang dilakukan oleh Amiruddin.

    “Satu laporan polis telah dibuat jam 10.49 pagi ini yang mana kita berharap pihak polis melakukan siasatan mengenai perkara tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

    - Advertisement -