PN belum terima MoU peruntukan MP pembangkang

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) belum menerima kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan dikemukakan Kerajaan Madani berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

- Advertisement -

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berharap agar peruntukan berkenaan dipermudahkan memandangkan ia masih belum diterima sejak tahun lalu.

Katanya, dalam bajet juga memutuskan peruntukan berkenaan perlu untuk pengurusan dan pembangunan di 222 parlimen seluruh negara.

“Kerajaan hari ini juga secara terus terang menyatakan dalam menifesto atau buku harapan sekiranya mereka menjadi kerajaan peruntukan akan diberi sama rata.

“Tetapi kerajaan hari ini telah melewati setahun lebih dan sehingga sekarang kita tidak menerima peruntukan kepada ahli pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang menyatakan peruntukan itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat, Takiyuudin berkata perkara itu seharusnya tidak timbul dan tidak menjadi keperluan dibawah undang-undang.

“Setiap tahun parlimen meluluskan bajet untuk tahun akan datang, melalui bajet itu mempunyai peruntukan untuk pembangunan dan pengurusan untuk setiap Parlimen.

“Jika kita ingat pada tahun 2021 dan 2022 semasa dibawah pemerintahan PERIKATAN NASIONAL (PN) kita memberikan peruntukan secara samarata kepada semua Ahli Parlimen sama ada penyokong atau pembangkang,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ketua Setiausaha Agung PAS, berkata peruntukan terbabit seharusnya disegerakan memandangkan ia untuk rakyat dan bukan buat kepentingan Ahli Parlimen.

“Justeru, sekarang ini kami masih menunggu keputusan kerajaan dan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberinya tanpa syarat atau menyokong kerajaan, maka kita akan menerimanya dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -