Maklumat peribadi ibu bapa, kakitangan 127 sekolah diceroboh

Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura telah mengeluarkan nasihat kepada pelajar sekolah dan ibu bapa masing-masing supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang e-mel pancingan data yang mungkin dihantar kepada mereka. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura mengesahkan berlaku pencerobohan data di salah satu vendornya yang telah mengakibatkan ‘akses tanpa kebenaran’ nama dan alamat e-mel ibu bapa dan kakitangan lima sekolah rendah dan 122 sekolah menengah.

Dalam kenyataannya semalam, MOE berkata, ia telah dimaklumkan oleh Mobile Guardian bahawa portal pengurusan penggunanya telah dilanggar pada hari Rabu lepas, dengan kejadian itu berlaku di ibu pejabat syarikat itu di Surrey, United Kingdom, lapor CNA.

- Advertisement -

Mobile Guardian ialah aplikasi pengurusan peranti (DMA) yang dipasang pada peranti pembelajaran peribadi yang digunakan oleh pelajar, seperti iPad dan Google Chromebook.

Aplikasi berkenaan membolehkan ibu bapa menguruskan penggunaan peranti pelajar dengan mengehadkan aplikasi atau tapak web dan masa skrin.

Tambah kenyataan MOE itu, aplikasi pengurusan perantinya sendiri tidak terjejas oleh pencerobohan data tersebut kerana ia berasingan daripada portal pengurusan pengguna Mobile Guardian dan ‘kekal selamat untuk digunakan’.

“Tiada bukti akses tanpa kebenaran ke dalam DMA MOE. Ibu bapa yang pelajar yang menggunakan iPad atau Chromebook boleh terus menggunakan DMA seperti biasa,” ujar kenyataan itu.

Kementerian serta sekolah yang terlibat dilaporkan akan memaklumkan kepada semua ibu bapa dan guru yang terlibat mengenai insiden pencerobohan data berkenaan.

“Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang e-mel pancingan data yang mungkin dihantar kepada mereka,” tambah MOE.

Kementerian itu turut menyatakan, ia telah menyatakan kebimbangannya kepada Mobile Guardian dan laporan polis telah dibuat.

Sebagai tindak balas kepada insiden itu, Mobile Guardian dalam kenyataannya pula berkata, ia telah melaksanakan langkah keselamatan selanjutnya, seperti mengunci semua akaun pentadbiran.

Syarikat perisian pengurusan peranti mudah alih itu juga bekerjasama dengan pakar keselamatan teknologi maklumat untuk menentukan cara pelanggaran data berlaku.

Mobile Guardian telah dilantik sebagai vendor perkhidmatan pengurusan peranti mudah alih rasmi MOE pada November 2020. – Agensi – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -