Chegu Bard, Salim Iskandar disoal siasat SKMM

Chegu Bard (kiri) dan Salim Iskandar (kanan).
- Advertisement -

CYBERJAYA: Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard serta Pengendali Vlog, Salim Iskandar telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 233).

Siasatan berhubung muat naik di Facebook serta media sosial milik mereka itu telah berlangsung selama lebih dua jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini, petang semalam.

- Advertisement -

Chegu Bard berkata, SKMM sepatutnya melaksanakan tanggungjawab memastikan kestabilan rangkaian hubungan internet dan integriti syarikat pengendali dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Tambahnya, tanggungjawab untuk memastikan ruang siber negara ini selamat daripada sebarang bentuk jenayah, namun hari ini masih berlaku pelbagai masalah di bawah bidang kuasa agensi tersebut.

“Stabiliti (kemantapan) internet negara dalam keadaan di beberapa tempat masih tidak memuaskan.

“Kedua ialah keluhan pelanggan-pelanggan telco (telekomunikasi) sangat banyak dan tidak terjawab.

“Ketiga, saya tunjukkan bukti bahawa adakah internet negara ini selamat? Scammer yang mustahil kamu (SKMM) tak boleh cari ya judi online, pelacuran atas talian,” ujarnya.

Chegu Bard dan Salim menyifatkan undang-undang di negara ini seperti ‘peraturan rimba’ kerana ada media seperti HarapanDaily yang memuatnaik kandungan menyebabkan murka Sultan Pahang tetapi tidak diambil tindakan.

Mereka juga kesal kerana agensi-agensi kerajaan digunakan oleh rejim pemerintah hari ini untuk menekan pihak tidak sehaluan politik. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -