Wanita Singapura dilapor hilang ditemui mati di Sepanyol

Audrey Fang tiba di Sepanyol untuk percutian solonya pada 4 April 2024, tetapi tidak tiba di Singapura seperti yang dijadualkan menjelang 12 April. (FOTO: Today Online)
- Advertisement -

MURCIA: Seorang wanita warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melancongdi Sepanyol telah ditemui mati di negara itu.

Mayat Audrey Fang, 39, telah ditemui di tempat parking lori di wilayah Abanilla, di sini, iaitu 150 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat, lapor Olive Press.

- Advertisement -

Mengikut laporan itu lagi, wanita berkenaan dikatakan telah ditikam sebanyak 30 kali sehinggakan mayatnya tidak dapat disahkan identitinya.

Fang tiba di Sepanyol untuk percutian solonya pada 4 April lalu dan dilaporkan akan kembali ke Singapura pada 12 April.

Dia dijadualkan akan menginap di sebuah hotel mewah di bandar Javea, pantai timur Sepanyol sehingga 10 April. Bagaimanapun, kali terakhir dirinya dilihat adalah pada 9 April.

Fang dikatakan mula hilang selepas meninggalkan biliknya kira-kira jam 8.45 pagi pada hari berkenaan (9 April) tanpa membawa barangan miliknya yang ditinggalkan di dalam bilik. Dia juga dikatakan tidak menaiki penerbangannya untuk kembali ke Singapura dari Barcelona.

Menurut laporan El Espanol pula, mayat Fang telah ditemui oleh Ketua Inspektor pihak polis tempatan ketika sedang dalam perjalanan untuk bersarapan di restoran sekitar lebuh raya RM-422 di Abanilla.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Singapura (MFA) memaklumkan Konsulat Jeneral Kehormat Singapura (HCG) telah menghubungi pihak berkuasa tempatan mengenai isu berkenaan.

“Kementerian Luar Negeri tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

“Pihak MFA dan HCG telah memberikan bantuan konsular dan bantuan terhadap keluarga Audrey Fang. Kami turut mengucapkan takziah kepada pihak keluarganya,” tambahnya.

Pihak polis Sepanyol dalam pada itu, telah menahan suspek seorang lelaki warga Singapura bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pihak keluarga Fang telah membuat laporan polis dan menghubungi pihak MFA apabila dia gagal dihubungi dan tidak tiba di Singapura seperti yang dijadualkan pada 12 April lalu. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -