ISLAMABAD: Kementerian Dalam Negeri Pakistan mengesahkan telah menyekat akses terhadap platform sosial media X, bermula dari pilihan raya yang berlangsung Februari lalu atas faktor keselamatan negara.
Pengesahan itu sekaligus menjawab dakwaan yang mengatakan kerajaan telah menyekat X sejak Februari lepas, berikutan laporan daripada pengguna di negara berkenaan yang mengalami masalah untuk mengakses sosial media tersebut.
Namun tiada pengumuman rasmi yang dibuat pihak kerajaan sehinggalah semalam menerusi penyerahan dokumen bertulis yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi Islamabad.
Dokumen itu antara lainnya menyebut bahawa ‘adalah sangat penting di sini bahawa kegagalan X untuk mematuhi arahan kerajaan Pakistan dan menangani kebimbangan mengenai penyalahgunaan platformnya akan dikenakan larangan’.
“Keputusan mengenakan sekatan ke atas X dibuat demi kepentingan menegakkan keselamatan negara, mengekalkan ketenteraman awam dan memelihara integriti negara kita”, lapor Reuters.
Peguambela dan peguamcara, Abdul Moiz Jafri memaklumkan, mahkamah lain di negara berkenaan telah meminta pihak kerajaan agar menimbang semula keputusan menyekat akses X itu dalam masa seminggu.
Pihak X dalam pada itu tidak memberikan sebarang komen mengenai sekatan yang dihadapi pihaknya di Pakistan itu ketika ditemui Reuters.
Sementara itu, pegawai-pegawai kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Shehbaz Sharif kekal menggunakan sosial media X, kemungkinan besar menggunakan perisian VPN bagi melangkaui sekatan tersebut. – Agensi – HARAKAHDAILY 18/4/2024