Media sosial: Turun kandungan untuk sekat bersuara?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya menyatakan bantahan terhadap platform yang telah menyekat kebebasan bersuara dan bukannya bersikap menyokong atau sering memberi alasan.

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menyentuh mengenai tindakan menurunkan kandungan berdasarkan pelanggaran undang-undang Malaysia dan seterusnya dikuatkuasakan berdasarkan garis panduan komuniti platform itu sendiri.

- Advertisement -

“Jadi kadang-kadang timbul persoalan, kalau melanggar undang-undang Malaysia, siapa yang menjadi hakim ke atas pelanggaran tersebut? Adakah kerajaan boleh secara berauditori memutuskan bahawa ini berlaku pelanggaran undang-undang, sedangkan dia tidak melalui proses perundangan.

“Di waktu yang sama kadang-kadang isu yang diturunkan ini tidak ada kena mengena langsung dalam perkara-perkara 3R (kaum, agama, raja) yang disebut tadi,” katanya mencelah sesi penggulungan Kementerian Komunikasi kepada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau memberi contoh apabila Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Mohd Radzi Md Jidin telah membuat sebuah video mengenai percukaian, malangnya telah diturunkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Jadi adakah kementerian hendak maksudkan bahawa dalam kes Putrajaya secara spesifik, adakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghantar apa-apa nota kepada operator untuk menurunkan kandungan tersebut?

“Tapi dalam kes ini, apa kategorinya yang menyebabkan dihantar nota tersebut,” soalnya.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pihak MCMC telah memohon pelbagai platform media sosial untuk menurunkan 7,556 kandungan sepanjang tahun 2023.

“Tapi yang diturunkan hanya 5,367 kandungan bersamaan 71.03 peratus dan berdasarkan undang-undang sedia ada yang memutuskan adalah garis panduan komuniti bagi platform-platform media sosial.

“Menjawab isu Putrajaya, kementerian akan jawab secara bertulis kerana tiada jawapan dan maklumat yang terperinci,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -