PAS Kepala Batas lancar dana usaha bangunkan KOMTIF

- Advertisement -

KEPALA BATAS: PAS Kawasan Kepala Batas telah menganjurkan Majlis Makan Malam Pelancaran Dana Pembinaan Kompleks Tarbiyyah Islamiyah Al-Falahiyah (KOMTIF) di Kota Aur, Penaga, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Majlis telah berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat perjuangan yang menjadi langkah merealisasikan pembinaan sebuah pusat pembangunan dakwah, pendidikan, kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali merasmikan majlis sekali gus menyempurnakan pelancaran Dana Pembangunan KOMTIF sebagai simbolik bermulanya usaha menggerakkan pembinaan kompleks berkenaan.

Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah tayangan montaj khas KOMTIF memaparkan visi, konsep pembangunan serta perancangan masa depan kompleks tarbiyah tersebut.

Tayangan itu memberi gambaran jelas mengenai peranan KOMTIF sebagai pusat tarbiyah yang diharap mampu melahirkan generasi rabbani serta memperkukuh gerakan dakwah di Kepala Batas.

Program dimulakan dengan bacaan Hizib, disusuli tazkirah, solat Maghrib berjemaah dan jamuan makan malam dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.

Hadirin turut mengikuti taklimat projek disampaikan Ketua Penerangan PAS Kepala Batas, Dr Zaki Ibrahim yang memperincikan objektif pembangunan, konsep pembinaan serta keperluan dana bagi merealisasikan projek berimpak tinggi itu.

Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Mohd Khir Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, serta Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

Mesej ucapan mereka senada menegaskan bahawa pembinaan KOMTIF merupakan satu pelaburan strategik bagi memperkukuh agenda tarbiyah, dakwah dan pembangunan masyarakat Islam untuk jangka panjang.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah di mana berlangsung dalam beberapa pusingan, sekali gus menambahkan keceriaan para tetamu yang hadir.

Penganjur berharap pembinaan Kompleks Tarbiyyah Islamiyah Al Falahiyah (KOMTIF) akan terus mendapat sokongan ahli PAS, para penyumbang dan masyarakat.

Usaha ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berteraskan Islam serta memperkukuh kesinambungan perjuangan Islam di Kepala Batas. – HARAKAHDAILY 4/8/2026

- Advertisement -