Penyatuan undi elak kerugian politik Melayu-Islam

Kunci bentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang stabil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyatuan undi Melayu-Islam disifatkan sebagai faktor paling penting dalam menentukan hala tuju politik Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia sekali gus menjadi asas kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil, kukuh dan berwibawa.

Menurut beliau, permuafakatan yang berjaya dibentuk antara dua gabungan pakatan politik terbesar merupakan strategi terbaik untuk mengelakkan perpecahan undi Melayu-Islam.

Katanya, selama ini perpecahan yang berlaku telah diambil kesempatan hingga ianya memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Jelasnya, persefahaman politik diterjemahkan menerusi penyusunan kerusi PRN itu membuka ruang kepada pembentukan sebuah Kerajaan Melayu-Islam, di samping menghalang PH-DAP kembali menerajui pentadbiran negeri.

“Dalam suasana politik yang semakin rencam, penyatuan undi golongan Melayu-Islam amat penting bagi mengelakkan PH-DAP terus mendapat keuntungan daripada perpecahan politik.

“Penyatuan ini diyakini mampu menjadi solusi kepada pembentukan sebuah kerajaan Negeri Sembilan yang lebih stabil, kukuh dan berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beliau berkata, PAS memimpin PERIKATAN NASIONAL (PN) berasaskan prinsip Penyatuan Ummah dengan menghimpunkan parti-parti Melayu dan bukan-Islam yang tidak ekstrem bagi membina negeri serta negara ke arah lebih sejahtera.

Terangnya, prinsip itu diterjemahkan melalui permuafakatan pembahagian kerusi pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang akhirnya hanya melemahkan kekuatan politik Melayu-Islam.

“Permuafakatan ini direncana di atas kertas pertembungan pilihan raya supaya tidak berlaku pertandingan yang merugikan kuasa politik Melayu-Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Afnan berkata, usaha penyatuan itu bukan sekadar bertujuan memenangi pilihan raya, sebaliknya turut didorong hasrat memastikan Institusi Adat, Institusi Diraja dan kedudukan Islam di Negeri Sembilan terus dipelihara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu turut berkata, sejak DAP berada dalam Kerajaan Negeri, kedudukan Institusi Adat di Negeri Sembilan sering berdepan pelbagai konflik sehingga mencetuskan pertembungan melibatkan Undang Yang Empat.

Katanya, Undang Yang Empat merupakan raja bersama Yang Dipertuan Besar yang disebut sebagai Pembesar Memerintah dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru institusi berkenaan perlu dipelihara dan dihormati.

“Matlamat permuafakatan yang dibina atas prinsip Penyatuan Ummah ini adalah untuk menjaga negeri ini, di samping memastikan kemelut serta konflik melibatkan institusi adat negeri dapat ditenangkan dan diselesaikan dengan sempurna.

“Sentimen rakyat Negeri Sembilan terhadap adat, Institusi Diraja dan kedudukan Islam sewajarnya menjadi pemangkin kepada keutuhan politik yang sentiasa dipegang oleh PAS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama supaya bersama-sama menyokong gagasan Penyatuan Ummah yang dibawa.

Menurutnya, PRN kali ini bukan sekadar medan memilih wakil rakyat, malah peluang terbaik untuk rakyat menentukan hala tuju pentadbiran negeri, memperkukuh kestabilan politik serta membina masa depan Negeri Sembilan yang lebih sejahtera.

“Semoga penyatuan dan perpaduan ini menatijahkan keberkatan daripada-Nya. Insya-Allah, ‘Nismilan Kito Jago’,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -