
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang baru selesai baru-baru ini memperlihatkan bahawa apabila orang Melayu bersatu, kekuatan politik akan kembali kepada mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun bentuk kerjasama serta ikatan penyatuan itu masih belum jelas, ia perlu diterima sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kekuatan politik orang Melayu.
“Walaupun bentuk kerjasama masih samar-samar dari segi bentuk dan ikatan, ia perlu kita terima sebagai satu langkah ke arah keberkesanan untuk memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Tun Dr Mahathir mengingatkan, penyatuan yang membawa kepada kekuatan politik tidak seharusnya digunakan untuk mempertahankan kebatilan atau melakukan perkara buruk.
Sebaliknya, beliau menegaskan kekuatan itu perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan tanah air.
“Ia harus diguna untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan tanah air kita,” jelasnya turut menekankan penyatuan Melayu bukan bertujuan mencari kekuatan untuk menekan atau menidakkan hak serta kepentingan kaum lain.
Sebaliknya menurut beliau, apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberikan keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaum sendiri tanpa mempertikai hak kaum lain.
Tun Dr Mahathir menjelaskan, pendekatan berkenaan adalah prinsip yang dipegang sejak negara mencapai kemerdekaan dan berjaya membawa kemakmuran kepada orang Melayu serta kaum-kaum lain.
“Inilah cara kita pegang sejak dari merdeka dan ia telah berjaya memakmurkan orang Melayu dan kaum-kaum lain. Kerana itu Melayu perlu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik. Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal hak kita,” katanya.
Keputusan rasmi PRN Johor ke-16 menunjukkan BN mendominasi persaingan dengan kemenangan besar 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk beberapa kawasan yang menyaksikan peningkatan majoriti berbanding PRN 2022.
PH pula berlakunya penurunan jumlah kerusi, manakala parti-parti lain tidak mencatat sebarang kemenangan di kerusi yang ditandingi di mana-mana dalam 56 DUN seluruh negeri itu.
Beberapa kemenangan BN turut mencatat majoriti besar seperti di Panti, Machap, Semarang, Bukit Permai dan Penawar, sekali gus mengukuhkan kedudukan gabungan itu dalam politik Johor. – HARAKAHDAILY 15/7/2026











