
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu membudayakan kesedaran dalam kalangan pengusaha supaya setiap premis makanan berusaha mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tanpa mengira pemiliknya beragama Islam atau bukan-Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Daud berkata, pensijilan halal bukan sekadar memenuhi kehendak undang undang, malah memberi keberkatan kepada perniagaan.
“Jangan kerana mengejar keuntungan semata mata, aspek syariah diabaikan. Pensijilan Halal bukan sekadar memenuhi kehendak undang-undang, tetapi juga memberi keberkatan kepada perniagaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pengesahan Sijil Halal 17 Cawangan Nasken Coffee, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri terus memperkukuhkan agenda pembangunan industri halal dengan memberi penekanan kepada peningkatan pemilikan SPHM dalam kalangan premis dan syarikat.
“Alhamdulillah, terdapat syarikat yang berjaya memperoleh SPHM bagi semua 17 cawangannya. Ini merupakan satu kejayaan hasil usaha berterusan melalui program penerangan, taklimat dan peningkatan kesedaran mengenai pensijilan Halal,” ujarnya.
Beliau berkata, tanggapan bahawa premis di Kelantan tidak memerlukan pensijilan Halal adalah tidak tepat kerana jumlah pemegang SPHM di negeri itu terus meningkat.
Tambah beliau, sekiranya semua syarat dipenuhi, proses kelulusan SPHM disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari.
“Jika semua syarat dipenuhi, kita menyasarkan proses kelulusan dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari selaras dengan sasaran di peringkat Persekutuan.
“Kelewatan biasanya bukan berpunca daripada pihak jabatan, tetapi kerana premis perlu membuat penambahbaikan atau memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum sijil boleh dikeluarkan,” ujarnya lagi.
Mengulas dakwaan tular mengenai beberapa premis makanan yang didakwa tidak memiliki sijil Halal, beliau berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Turut hadir ADUN Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan Timbalan Pengarah Jabatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Mohd Ridzuan Sulaiman. – HARAKAHDAILY 15/7/2026











