
KOTA BHARU: Pengesahan sijil Halal bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna Islam di Malaysia, sebaliknya menjadi pengiktirafan penting yang membuka peluang produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, banyak negara termasuk Barat kini memberi perhatian terhadap pensijilan Halal Malaysia kerana standardnya yang diiktiraf dan diyakini.
Beliau berkata, masih banyak premis makanan di Kelantan yang belum memperoleh sijil Halal dan berharap kejayaan Neskeen menerima pensijilan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak pengusaha makanan memohon pensijilan berkenaan.
“Pensijilan halal bukan hanya penting di Malaysia, malah banyak negara luar termasuk negara Barat mahukan pengesahan sijil halal Malaysia. Kita berharap kejayaan Neskeen menjadi galakan kepada lebih banyak kedai makan di Kelantan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan pengesahan sijil halal kepada Neskeen, premis minuman kopi yang semakin popular khususnya di negeri ini dalam satu majlis.
Menurutnya, usaha mendapatkan sijil Halal turut mendapat perhatian pengusaha premis makanan bukan-Islam yang berusaha memenuhi syarat ditetapkan demi menawarkan produk diyakini pengguna.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada golongan muda yang berani menceburi bidang keusahawanan dan membangunkan perniagaan sendiri.
“Kita menyeru lebih ramai anak muda menceburi dunia perniagaan kerana bidang ini mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
“Tahniah kepada Neskeen yang akhirnya berjaya memperoleh sijil halal. Semoga terus berkembang, bukan sahaja ke seluruh Malaysia, malah menembusi pasaran dunia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/7/2026











