Perjuangan Islam bukan suatu perjalanan mudah

Ahmad Dullah (kanan) menerima cenderahati daripada Kasman Karate selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Lahad Datu Kali Ke 14, kelmarin.
- Advertisement -

LAHAD DATU: “Perjuangan Islam bukanlah suatu perjalanan yang mudah, sebaliknya setiap ahli perlu mendidik diri dengan ilmu, memperkukuhkan hubungan dengan Allah dan kekal teguh bersama jemaah dalam apa jua keadaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sabah, Ahmad Dullah.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli PAS agar terus memperkukuhkan tarbiah dan beristiqamah dalam setiap amanah yang dipikul kerana perjuangan menegakkan agama Allah SWT menuntut kesabaran dan pengorbanan tinggi.

Katanya, PAS Sabah telah membuktikan bahawa kekuatan sesebuah gerakan bukan terletak pada kemewahan atau bilangan ahli semata-mata, tetapi pada tarbiah yang berterusan dan semangat pengorbanan yang tinggi.

“Janganlah kita berjuang kerana jawatan atau kepentingan peribadi, sebaliknya jadikan keredaan Allah sebagai matlamat utama dalam setiap langkah perjuangan.

“Perjuangan ini bukan bermula dengan kita dan bukan juga akan berakhir dengan kita, sebaliknya tanggungjawab kita ialah terus beristiqamah dan ikhlas dalam menegakkan agama Allah sehingga kemenangan dikurniakan kepada pejuang agama-Nya,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Lahad Datu Kali Ke 14 di Anggun Ballroom, dekat sini kelmarin.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Kasman Karate berkata, mesyuarat mengangkat tema Bangkit Berbakti, Teguh Istiqamah sebagai satu seruan untuk setiap ahli memperbaharui iltizam dalam memperkukuh perjuangan Islam yang berteraskan syura, amanah, tarbiah dan istiqamah.

Menurutnya, mesyuarat yang diadakan bukan sekadar hanya memenuhi tuntutan parti, sebaliknya ia adalah medan syura dan amanah bagi menilai sejauh mana tanggungjawab sebagai ahli gerakan parti.

“Pendirian kita jelas bahawa perjuangan Islam dinilai melalui amal, keikhlasan, pengorbanan dan istiqamah, bukannya sekadar slogan atau retorik,” katanya.

Tambahnya, istiqamah adalah kekuatan untuk terus melangkah diatas jalan perjuangan walaupun berdepan pelbagai ujian dan pengorbanan.

“Semangat untuk bangkit membawa maksud keluar daripada kelemahan, meninggalkan zon selesa, memperbaharui azam dan menggandakan usaha.

“Selain itu, penekanan terhadap tarbiah ruhiyyah dan fardiyyah perlu diperkasakan setiap hari dalam kita memperkukuh hubungan dengan Tuhan,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengharapkan mesyuarat agung kali itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan ahli untuk terus berbakti dengan penuh keikhlasan, memperkukuh tarbiah serta mengekalkan istiqamah dalam melaksanakan amanah perjuangan demi mencari keredhaan Allah. – HARAKAHDAILY 15/7/2026

- Advertisement -