Pelajar tahfiz YIK sambung pengajian di Korea Selatan

Dalam bidang kejuruteraan mekanikal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menghantar kumpulan perintis seramai 10 pelajar tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk menyambung pengajian di Dongyang Mirei University, Seoul, Republik Korea.

Kumpulan tersebut akan mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal sebagai pendidikan dan latihan kemahiran bertaraf antarabangsa kepada anak-anak Kelantan, bermula penghujung Ogos ini.

- Advertisement -

Perkara itu diputuskan selepas delegasi Kerajaan Negeri diketuai Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang mengadakan lawatan kerja ke Republik Korea pada 7 hingga 12 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, hasil lawatan tersebut menyaksikan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara YIK dan universiti itu.

Menurut beliau, kumpulan perintis dipilih terdiri daripada pelajar tahfiz YIK yang memenuhi syarat kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas melalui sesi temu duga dikendalikan pihak YIK.

“Ini adalah kumpulan pertama. Kita memilih pelajar tahfiz kerana kita mahu melahirkan golongan profesional yang mempunyai asas agama yang kukuh. Hari ini sudah ada lepasan tahfiz kita menjadi juruterbang dan paling ramai menjadi doktor.

“Kini kita melangkah setapak lagi dengan melahirkan jurutera, khususnya dalam bidang penyelenggaraan pesawat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Mabna, di sini hari ini.

Beliau berkata, para pelajar akan mengikuti pengajian selama tiga tahun dengan penekanan kepada pembelajaran teori, latihan praktikal intensif serta pendedahan kepada standard industri di Korea Selatan.

Katanya, pihak universiti turut menyediakan penginapan secara percuma sepanjang tempoh pengajian.

“Pelajar dijangka berlepas ke Republik Korea pada minggu terakhir Ogos 2026 dan memulakan pengajian pada awal September depan,” katanya.

Selain itu, satu lagi MoU dimeterai antara YIK dan Korea Aviation Technical Academy (KATA) yang memberi tumpuan kepada latihan teknikal dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

Melalui kerjasama itu, pelajar akan menjalani latihan praktikal secara terus di fasiliti industri bagi memperoleh pengalaman sebenar dalam kerja-kerja baik pulih pesawat.

Delegasi turut mengadakan perbincangan strategik dengan Hanyang University ERICA bagi meneroka laluan kepada pelajar Kelantan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan diploma di universiti itu.

Dalam lawatan sama, delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Republik Korea bagi memperkukuhkan jaringan sokongan kepada pelajar Kelantan sepanjang berada di negara itu.

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan projek perintis dan kerajaan negeri akan menilai kejayaannya sebelum memperluaskan kerjasama kepada bidang-bidang lain pada masa hadapan.

“Setiap pelajar dia disediakan dalam bentuk pinjaman boleh ubah menerusi Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dengan sokongan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YIK, YAKIN, Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGICOOP) serta semua pihak yang menjayakan misi pendidikan berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/7/2026

- Advertisement -