FELCRA perlu patuh SOP perolehan, elak banyak risiko

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad perlu melaksanakan semua syor serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perolehan baharu bagi memastikan kelestarian pelaburan, mengelakkan risiko kerugian pada masa hadapan dan menjamin kestabilan kewangannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan demikian dalam satu Sidang Media selepas prosiding PAC di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

- Advertisement -

Penegasan itu dibuat selepas PAC membentangkan Penyata PAC Parlimen mengenai laporan tindakan susulan kementerian dan agensi terhadap syor berkaitan pengurusan perolehan ladang sawit FELCRA Berhad di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurutnya, penyata itu memaklumkan tindakan susulan KKDW dan FELCRA Berhad terhadap sembilan syor yang dikemukakan PAC susulan kelemahan tadbir urus dalam perolehan empat ladang sawit komersial seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2025.

“PAC telah mengadakan prosiding tindakan susulan pegawai pengawal terhadap syor tersebut pada 22 Jun lalu.

“Saksi yang hadir memberikan penjelasan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad serta pegawai daripada kementerian dan agensi berkaitan.

“Dalam setiap tindakan susulan terhadap syor PAC, jawatankuasa turut memberikan ulasan terhadap langkah yang diambil,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah pada sidang media tersebut.

Jelasnya, PAC menyambut baik penambahbaikan SOP Perolehan Tanah atau Estet oleh FELCRA Berhad yang kini mewajibkan laporan penilaian daya maju daripada perunding luar dibentangkan kepada Lembaga Pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, FELCRA turut menetapkan tempoh bertenang antara 15 hingga 30 hari sebelum sesuatu perjanjian dimeterai bagi mengelakkan keputusan dibuat secara tergesa gesa.

Bagaimanapun jelasnya, keberkesanan SOP baharu itu masih belum dapat dinilai sepenuhnya kerana tiada lagi perolehan aset komersial baharu dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, PAC turut dimaklumkan mengenai semakan semula unjuran pulangan pelaburan (ROI) bagi empat estet komersial iaitu Estet Tulipit, Dabung, Sungai Rawit 2 dan Airing menggunakan andaian harga minyak sawit mentah yang lebih realistik serta mengambil kira faktor umur pokok.

Beliau berkata, perubahan kos operasi dan keperluan program tanam semula secara besar-besaran menyebabkan tempoh ROI Estet Tulipit berubah daripada tahun kesembilan kepada tahun ke 19, iaitu pada 2040.

Sehubungan itu katanya, PAC menegaskan simulasi kewangan masa hadapan perlu dilaksanakan dengan mengintegrasikan analisis titik pulang modal.

Dalam aspek pemulihan ladang dan tenaga kerja, PAC menyambut baik usaha FELCRA memulihkan ladang kurang berdaya maju kerana langkah itu mula menunjukkan kesan positif, namun kebergantungan FELCRA terhadap tenaga kerja asing mencecah 90 peratus masih membimbangkan.

“PAC mengambil maklum strategi jangka sederhana dan panjang syarikat yang merangkumi pelan mekanisasi secara komprehensif, pemberian insentif khusus serta menaik taraf kediaman pekerja bagi menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan,” katanya.

Mengulas pengurusan ‘land bank’, beliau berkata PAC turut dimaklumkan bahawa FELCRA menangguhkan sebarang program ‘land bank’ komersial baharu bagi mengurangkan beban kewangan syarikat, tetapi keutamaan kini diberikan kepada program tanam semula estet dengan peruntukan RM52 juta melibatkan kawasan seluas 1,846 hektar.

Dalam masa sama, PAC menyambut baik langkah Kementerian Kewangan menggunakan sistem pelaporan GCAIS 2.0 bagi membolehkan wakil kementerian yang menganggotai Lembaga Pengarah melaporkan sebarang isu kritikal secara terus dan segera.

“Pematuhan mutlak kepada prosedur operasi standard perolehan baharu yang diperkukuhkan amat kritikal bagi memastikan kelestarian pelaburan, mengelakkan risiko kerugian pada masa hadapan serta menjamin kestabilan kewangan jangka panjang syarikat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Penyata PAC berhubung perkara itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang PAC dan mengandungi 36 muka surat. – HARAKAHDAILY 15/7/2026

- Advertisement -