Pilih wakil rakyat dalam pilihan raya bukan hal remeh

- Advertisement -

MERSING: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Endau diingat supaya tidak memandang ringan tanggungjawab memilih wakil rakyat kerana keputusan itu akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, Islam memberikan penekanan besar terhadap urusan kepimpinan sebagaimana dibuktikan dalam sejarah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Menurut beliau, para Sahabat RA mendahulukan pelantikan khalifah sebelum menyempurnakan pengebumian Rasulullah SAW kerana kepimpinan merupakan asas penting dalam pentadbiran umat.

“Apabila DUN Johor dibubarkan, maka menjadi tanggungjawab rakyat Johor memilih wakil yang akan membawa suara mereka, menggubal dasar, meminda akta dan menjaga kepentingan rakyat. Jangan anggap siapa pun yang dipilih sama sahaja.

“Ada yang kata siapa menang pun mereka tetap ke laut sebagai nelayan, tetap menjadi pesawah atau guru. Hakikatnya tidak sama,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N.32 Endau di PDM Padang Endau, di sini.

Mohd Yusni yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, rakyat di beberapa negeri telah membuktikan bahawa perubahan kepimpinan mampu membawa kesan terhadap pentadbiran.

Menurut beliau, Kedah, Terengganu dan Kelantan terus mendapat sokongan rakyat hasil pentadbiran kerajaan negeri yang diyakini memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, Kelantan mengekalkan pemerintahan PAS sejak 1990 kerana rakyat melihat kesinambungan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang diperkenalkan ketika Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.

“Rakyat Kelantan hidup dalam keadaan harmoni dan aman. Sebab itu mereka terus memberi mandat kepada PAS,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyelar beberapa negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan DAP berdepan pelbagai masalah sehingga berlaku perubahan sokongan rakyat dalam pilihan raya.

Beliau turut merujuk keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan DAP kehilangan semua lapan kerusi DUN yang dimenangi sebelum itu.

Manakala PAS pula katanya, mencipta sejarah apabila Datuk Dr Aliakbar Gulasan memenangi kerusi Karambunai sebagai wakil rakyat PAS pertama di Sabah.

Mengulas perkembangan di Pulau Pinang, Yusni berkata, PAS hanya memiliki seorang ADUN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 iaitu beliau sendiri di DUN Penaga.

Katanya, BN yang memiliki 11 kerusi DUN pada 2008 berkurangan kepada 10 kerusi pada PRU 2013 sebelum hanya tinggal dua kerusi pada PRU 2018.

“PAS ketika itu hanya ada satu kerusi, tetapi kami terus bekerja dengan keyakinan bahawa perjuangan Islam tidak akan mati.

“Pada PRU Ke-15, PAS Pulau Pinang berjaya meningkatkan pencapaian kepada tujuh kerusi DUN, manakala PERIKATAN NASIONAL memperoleh 11 kerusi keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, PERIKATAN NASIONAL turut memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Kepala Batas, sekali gus menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap gabungan itu.

Menurutnya, PAS Pulau Pinang kini menyasarkan sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri apabila DUN Pulau Pinang dibubarkan kelak.

Menyentuh PRN16 Johor, beliau menyeru pengundi Endau khususnya golongan muda supaya keluar mengundi pada 11 Julai dan memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL

Katanya, calon daripada PAS, Ustaz Hasnul Hakimi Hussein berusia
30 tahun itu mampu membawa suara generasi muda di DUN Endau.

“Saya minta khususnya anak anak muda di Endau, keluarlah mengundi. Itu hak anda, tiada siapa boleh menghalang. Masuk ke pusat mengundi dengan membaca Bismillah dan pangkahlah calon nombor satu, Ustaz Hakimi,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menjelaskan bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya mempunyai pelbagai lajnah yang memberi tumpuan kepada kebajikan, pendidikan dan bantuan kemanusiaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, menerusi PASRelief, parti itu menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana dan konflik di dalam serta luar negara.

Antaranya bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa dan bantuan kepada rakyat Palestin serta mangsa gempa bumi di selatan Filipina.

Menurut beliau, ketika pandemik COVID 19, PAS berjaya mengumpulkan dana RM16 juta hasil sumbangan ahlinya bagi membantu rakyat Palestin.

Beliau berkata, beliau sendiri berpeluang bertemu Allahyarham Syeikh Ismail Haniyeh sebanyak dua kali bagi menyampaikan sumbangan tersebut. – HARAKAHDAILY 10/7/2026

- Advertisement -