
MERSING: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau memilih calon berintegriti dan memahami denyut nadi rakyat kerana pilihan raya menentukan hala tuju dasar negeri untuk tempoh lima tahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega N.32 Endau di PDM Padang Endau bagi memperkenalkan calon PERIKATAN NASIONAL, Ustaz Hasnul Hakimi Hussein.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat oleh wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, justeru pengundi perlu membuat pilihan dengan penuh tanggungjawab.
“Kita akan memilih seorang wakil rakyat yang membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Johor. Tugas wakil rakyat ialah merangka dasar dan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Untuk menggubal dasar, mereka mesti benar-benar memahami isi hati, denyut nadi dan naluri rakyat setempat kerana segala keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan hari ini membuktikan setiap dasar kerajaan memberi impak kepada kehidupan rakyat.
“Apabila kita salah memilih, dasar yang dibuat akan memberi kesan kepada rakyat. Hari ini rakyat merasakan tekanan hidup semakin meningkat, kos perbelanjaan semakin besar dan semua ini berlaku kerana dasar serta keputusan kerajaan,” ujarnya.
Menurut beliau, keadaan sama turut berlaku di peringkat negeri apabila setiap dasar yang diputuskan di Dewan Undangan Negeri mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk penyediaan kemudahan asas dan kebajikan masyarakat.
Sehubungan itu beliau menyeru seluruh pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada hari Sabtu bersama ahli keluarga, saudara mara dan jiran tetangga.
“Jangan ambil mudah atau beranggapan semua calon adalah sama kerana keputusan yang dibuat akan menentukan nasib kita untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Andansura berkata, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan calon anak tempatan yang memahami keperluan masyarakat Endau kerana beliau merupakan seorang pendidik dan telah lama berkhidmat di kawasan itu.
Katanya, calon berusia awal 30-an itu dipilih kerana golongan muda lebih memahami kehendak generasi muda yang bakal mencorakkan masa depan masyarakat.
“Beliau adalah rakyat tempatan, seorang pendidik dan tahu keadaan semasa anak anak muda di sini. Kita tampilkan orang muda kerana mereka lebih memahami cita rasa, kehendak serta cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang.
“Mereka juga mampu berfikir dengan lebih baik, telus dan bertanggungjawab,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah.
Dalam pada itu, Andansura menolak dakwaan bahawa PAS hanya turun bertemu rakyat ketika musim pilihan raya, sebaliknya sentiasa bersama masyarakat melalui institusi pendidikan, kebajikan dan sukarelawan.
“PAS bukan turun lima tahun sekali. Kita sentiasa berada bersama masyarakat. Kita ada PASTI, SRITI dan sekolah menengah Islam yang diuruskan oleh PAS. Semua ini membuktikan PAS bersama masyarakat 24 jam sama ada ada pilihan raya ataupun tidak,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Amal Malaysia sentiasa membantu masyarakat dalam pelbagai program dan operasi bantuan bencana, manakala PASRelief pula aktif menggerakkan bantuan kemanusiaan ke luar negara ketika berlaku bencana.
“Carilah parti lain yang melakukan perkara yang sama. PAS bukan hanya berpolitik, tetapi sentiasa bersama masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan,” katanya.
Beliau menegaskan PAS dikenali sebagai parti yang berpegang kepada amanah dan integriti serta bebas daripada salah guna kuasa.
“PAS terkenal dengan sifat amanah dan integriti. Ia diakui oleh kawan dan lawan. PAS adalah antara parti yang bersih daripada salah guna kuasa.
“Jadi apa yang perlu kita takut untuk mengundi PAS dan PERIKATAN NASIONAL? Saya berharap rakyat Johor, khususnya di Endau, membulatkan tekad dan keluar beramai-ramai.
“Undi calon PERIKATAN NASIONAL, Ustaz Hakimi, calon nombor satu pada hari Sabtu nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











