
MERSING: Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan kekuatan PAS sehingga muncul antara parti paling digeruni di negara ini bukan berpunca daripada kekayaan atau kehebatan individu pemimpinnya, sebaliknya hasil istiqamah mempertahankan perjuangan Islam sejak penubuhannya.
Beliau berkata, PAS terus berpegang teguh kepada dasar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran, tekanan, kekurangan sumber dan kesukaran sepanjang perjuangan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Allah SWT menjanjikan kepada orang yang istiqamah bahawa mereka tidak akan merasa takut dan tidak akan berdukacita.
“Kalau perjuangan Islam ini menjanjikan kekayaan dan kemenangan segera, sudah tentu semua orang akan bersama perjuangan Islam. Tetapi kerana jalan perjuangan ini penuh ujian, tidak semua sanggup bersamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di PDM Padang Endau sempena Pilihan Raya Negeri Johor.
Turut hadir ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah; ADUN Beserah, Dato’ Andansura Rabu; ADUN Semantan, Hassanuddin Salim; ADUN Lanchang, Hassan Omar serta Yang Dipertua PAS Kawasan Mersing, Roslan Nikmat.
Rosli berkata, perkembangan PAS daripada sebuah parti kecil sehingga berjaya mentadbir beberapa negeri membuktikan janji Allah SWT kepada mereka yang istiqamah dalam perjuangan.
Menurutnya, PAS bermula dengan mentadbir Kelantan sebelum membentuk kerajaan di Terengganu, Kedah dan Perlis, selain memperkukuhkan kedudukan di Pahang.
“Kami berdua sahaja dalam Dewan Undangan Negeri ketika itu. Memang kena buli, kena hina kerana jumlah yang sedikit.
“Pada PRU14 bertambah kepada lapan kerusi dan kami beritahu semua wakil rakyat supaya bekerja bersungguh-sungguh walaupun tiada peruntukan.
“Alhamdulillah pada PRU15, bersama PERIKATAN NAIONAL kita memperoleh 17 kerusi, sama banyak dengan Barisan Nasional. Semua ini kesan daripada istiqamah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan wakil rakyat PAS terus mendahului usaha kebajikan walaupun tidak menerima peruntukan kerajaan.
Menurutnya, setiap kali berlaku musibah seperti kebakaran, banjir atau melibatkan golongan yang memerlukan, petugas dan wakil rakyat PAS sentiasa berada di hadapan membantu rakyat.
“Cuba bayangkan kalau kita ada peruntukan. Dalam keadaan tiada peruntukan pun kita tetap membantu rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa memilih pemimpin bukan sekadar tanggungjawab di dunia, bahkan akan dipersoalkan di akhirat.
Katanya, Nabi Muhammad SAW menjelaskan terdapat dua golongan yang memberi pengaruh besar kepada masyarakat iaitu ulama dan umara.
“Kalau ulama itu baik, baiklah masyarakat. Kalau pemimpin itu baik, baiklah rakyat.
“Sebab itu kita mesti memilih pemimpin yang taat kepada Allah SWT, bukan pemimpin yang melanggar syariat tetapi mengharapkan mereka membawa rakyat kepada kebaikan,” tegasnya.
Rosli turut membandingkan rekod PAS dengan parti lain yang menurutnya sering dikaitkan dengan pelbagai isu rasuah.
Beliau berkata, PAS yang mentadbir Kelantan lebih 30 tahun tidak pernah mempunyai pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah.
“Kita tahu rasuah akan meruntuhkan negara. Negara yang mengamalkan rasuah akhirnya rakyat menjadi miskin dan susah.
“Alhamdulillah pemimpin PAS tidak pernah terpalit dengan isu rasuah kerana dasar perjuangan kita ialah Islam berteraskan al Quran, hadis, ijmak dan qias,” ujarnya.
Beliau turut menjadikan pentadbiran Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan sebagai contoh bagaimana kuasa pemerintahan digunakan untuk melaksanakan syariat.
Menurutnya, walaupun kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa membatalkan lesen perjudian di bawah bidang kuasa Persekutuan, pentadbiran Kelantan berjaya menamatkan permit operasi premis perjudian di negeri itu.
“Ini pentingnya kuasa. Sebab itu kalau kita mahu syariat Allah dilaksanakan, kita mesti memilih parti yang apabila menang akan melaksanakan perintah Allah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa Islam menindas kaum lain, sebaliknya membawa keadilan kepada semua kaum tanpa mengira Melayu, Cina atau India.
“Islam melarang kita menghina tuhan agama lain. Orang Islam yang mencuri tetap berdosa sama ada mencuri daripada orang Melayu, Cina atau India.
“Islam menjaga keamanan, perpaduan dan keadilan untuk semua rakyat,” katanya.
Rosli menyeru pengundi Endau supaya keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL, Ustaz Hasnul Hakimi Hussein.
Beliau berkata, calon muda itu mempunyai tenaga dan pemikiran yang cergas serta mampu menjadi penghubung terbaik antara rakyat dengan kerajaan.
“Saya sendiri turun bertemu rakyat. Sepanjang ziarah itu saya tidak menemui sesiapa yang membantah, malah ada penyokong yang memakai baju BN sendiri menyatakan mahu mengundi Ustaz Hakimi.
“Kita hidup pada zaman maklumat terbuka. Rakyat khususnya pengundi muda mampu menilai sendiri.Jadi pada hari mengundi nanti, jangan lupa keluar mengundi dan undilah Ustaz Hakimi demi masa depan Endau, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











