
BAKRI: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyeru rakyat Johor mengundi PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri Johor sekiranya mahukan pentadbiran negeri yang bebas daripada pengaruh DAP.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Grand Finale Ceramah PERIKATAN NASIONAL di Simpang Jeram pada malam tadi sebelum hari pengundian pada Sabtu, 11 Julai.
Menurutnya, program itu menghimpunkan jentera daripada semua Dewan Undangan Negeri yang ditandingi PERIKATAN NASIONAL bagi menyampaikan penjelasan serta mesej terakhir kepada pengundi.
“Kita adakan Grand Finale untuk memberikan penjelasan terakhir dan mendedahkan perkara penting kepada rakyat menjelang pilihan raya negeri.
“Sepanjang kita menerima laporan daripada jentera, kita mempunyai harapan untuk menang di beberapa DUN yang ditandingi walaupun masih perlu bekerja lebih keras,” katanya.
Beliau berkata, PERIKATAN NASIONAL yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Maharani di samping berusaha memenangi beberapa lagi kerusi sebagai tawaran baharu kepada rakyat Johor.
Menurutnya, sekira rakyat Johor mahu melihat sebuah kerajaan negeri tanpa DAP, maka PAS merupakan pilihan yang jelas kerana parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP.
“Kalau rakyat Johor mahukan satu pentadbiran yang tidak ada DAP, maka pilih PAS kerana sudah pasti PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan DAP.
“Kalau pilih Umno, mungkin kerajaan negeri tidak melibatkan DAP, tetapi Umno yang sama tetap berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan,” katanya.
Menurutnya, undi kepada PAS di kawasan yang ditandingi PERIKATAN NASIONAL merupakan mesej bahawa rakyat menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi kawasan yang tidak ditandingi PN, jentera dan penyokong diberikan kebebasan untuk membuat pilihan bagi mengundi Barisan Nasional sebagai usaha menolak calon Pakatan Harapan.
PMX giat kempen, PH tertekan
Mengulas kempen yang digerakkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Fadhli menyifatkan kehadiran beliau berkempen dari pagi hingga malam sebagai petanda Pakatan Harapan berada dalam keadaan tertekan.
“Saya melihat apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim turun dari pagi sampai malam, ia menandakan butang panik telah ditekan. Ini menunjukkan mereka tidak yakin untuk menang di Johor.
“Kalau dahulu pada PRN Johor 2022 mereka mengatakan ditolak kerana ketika itu mereka bukan kerajaan, kali ini jika mereka masih ditolak rakyat, apa lagi alasan yang hendak diberikan?” katanya.
Beliau turut berpandangan keputusan PRN Johor berpotensi menjadi petunjuk kepada kemungkinan Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal.
Menurutnya, jika Barisan Nasional memperoleh kemenangan yang selesa, parti itu dijangka memberi tekanan kepada Pakatan Harapan supaya membubarkan Parlimen lebih awal.
Sebaliknya, jika Pakatan Harapan memperoleh kemenangan yang meyakinkan, kerajaan juga mungkin melihat keadaan itu sebagai masa terbaik untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Mengulas isu yang tular berhubung perbahasannya di Parlimen mengenai Kelantan, Ahmad Fadhli berkata terdapat Ahli Parlimen yang menggunakan Sidang Dewan Rakyat sebagai medan berkempen bagi PRN Johor.
Katanya, pihak berkenaan cuba menggambarkan rakyat tidak sepatutnya memilih PERIKATAN NASIONAL dengan menggunakan naratif ‘jangan jadi seperti Kelantan’, sedangkan fakta yang dibentangkan tidak tepat.
“Saya bangun untuk menjawab tetapi tidak diberikan peluang. Sebab itu saya kata, kalau anak jantan, kita berdebat,” katanya turut mencabar Ahli Parlimen Kampar berdebat secara terbuka mengenai isu berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, memberi ruang kepada wakil kerajaan dan pembangkang berdebat secara langsung menerusi RTM.
“Saya minta Menteri Komunikasi memberi peluang kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mazlee Malik berdebat dalam RTM. Saya juga berharap diberi ruang untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Kampar dalam RTM.
“Apa salahnya RTM memberi ruang kepada ahli Parlimen PAS untuk berdebat? Tetapi saya yakin Ahli Parlimen Kampar tidak berani kerana fakta yang dibentangkan di Parlimen itu adalah fakta yang separuh masak,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi Johor yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai.
“Baliklah beramai ramai dan insya-Allah berikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL. ‘Jom Jaga Johor’ demi kebaikan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026










