
KUALA LUMPUR: DAP-Pakatan Harapan (PH) bertindak mengitar semula naratif ‘Gelombang Hijau’ hanya menyerlahkan kegelisahan serta ketidakyakinan untuk menang atas merit sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, strategi emosi tersebut sedang digunakan dalam kempen sebagai alat untuk menakutkan-nakutkan pengundi khususnya masyarakat bukan-Melayu.
Menurut Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) itu, ia membuktikan gabungan itu kurang yakin dengan kekuatan tawaran dasar, rekod prestasi dan keupayaan meyakinkan rakyat melalui hujah rasional.
Bidas beliau, strategi menanam sentimen takut itu pernah digunakan secara agresif dalam PRN 2023 dengan melabel PAS dan PN sebagai ancaman kepada kehidupan pelbagai kaum, kebebasan beragama dan masa depan negara.
“Kenyataan yang dikaitkan dengan pemimpin DAP yang mengatakan bahawa ‘menghentikan Gelombang Hijau adalah tentang menghentikan PAS’ agak melucukan. Semenjak awal penubuhan, PAS tidak pernah mendakwa bahawa parti itu ialah Islam secara mutlak.
“PAS ialah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, tetapi Islam sebagai agama jauh lebih luas daripada mana-mana organisasi politik,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Tegasnya, sebarang perbezaan politik dengan PAS sepatutnya dihujahkan atas dasar polisi, tadbir urus, ekonomi atau pendekatan pentadbiran, bukannya dibungkus dengan istilah ‘Gelombang Hijau’ secara konotasi ketakutan kepada bukan-Islam.
Beliau turut mempersoalkan sikap double standard sesetengah pihak yang sering mendakwa menolak politik 3R (kaum, agama, raja) tetapi kelihatan selesa menggunakan keresahan itu apabila berdepan dengan PAS.
“Dalam keadaan biasa, kerajaan sangat cepat memberi amaran tentang bahaya memainkan isu kaum dan agama. Namun apabila pemimpin DAP-PH menggunakan sentimen yang hampir sama terhadap PAS, teguran rasmi sering kedengaran perlahan, jika pun ianya bukan membisu,” selar beliau.
Beliau menambah, dakwaan bahawa PAS mengancam masyarakat bukan-Melayu di Johor juga tidak berpijak pada realiti angka kerana parti itu hanya bertanding di 11 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa tanda kegelisahan DAP-PH semakin ketara apabila tokoh veteran seperti Tan Sri Lim Kit Siang terpaksa dibawa turun ke pentas kempen bagi menggerakkan emosi penyokong.
Kehadiran semula tokoh kontroversi seperti Hew Kuan Yau atau ‘Superman Hew’ yang sering dikaitkan dengan ucapan politik keras, turut memperkukuh gambaran bahawa gabungan berkenaan sedang cuba menghidupkan semula provokasi lama.
Bagaimanapun, beliau optimis pengundi Johor, termasuk masyarakat Tionghua, kini lebih matang dan berhati-hati kerana telah melihat bagaimana janji-janji besar PH tidak semuanya diterjemahkan.
“Selain menyaksikan DAP yang dahulunya menentang keras Umno-BN kini boleh duduk bersama demi kestabilan. Di sinilah naratif menakutkan PAS menjadi semakin lemah.
“PAS mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah tanpa menganggu kehidupan masyarakat bukan Islam. Rumah ibadat bukan Islam masih wujud, aktiviti ekonomi berjalan, sambutan perayaan berlangsung, dan masyarakat pelbagai kaum terus menjalani kehidupan masing-masing,” katanya.
Beliau menegaskan, cubaan mengangkat momokan itu dilihat sebagai mengalihkan perhatian pengundi daripada persoalan lebih besar membabitkan tawaran ekonomi PH, penunaian manifesto serta penyelesaian konkrit isu kos sara hidup, perumahan dan peluang pekerjaan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak lawan yang seolah-olah mentafsirkan setiap usaha membawa nilai agama, akhlak dan integriti dalam pentadbiran sebagai satu bentuk ekstremisme.
“Jika sesebuah parti benar-benar yakin dengan dasar dan kemampuannya, ia tidak perlu menakut-nakutkan rakyat. Ia hanya perlu menjelaskan apa yang mahu dibuat, bagaimana mahu dilaksanakan dan mengapa rakyat harus percaya.
“Politik ketakutan mungkin boleh mencetuskan panik sementara, tetapi dalam jangka panjang, ia merosakkan kepercayaan rakyat kepada proses demokrasi,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 9/7/2026


















