‘Kalau kebakaran, lebih satu jam baru bomba sampai’

Ustaz Amin suarakan isu dihadapi warga Sungai Balang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PN daripada PAS bagi N.16 DUN Sungai Balang, Ustaz Muhammad Amin Sailan berkongsi bahawa isu Penyatuan Ummah menjadi perkara paling banyak diluahkan pengundi sepanjang tempoh kempen.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau bertanding bagi memastikan suara masyarakat di peringkat akar umbi dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk sebagai suara pengimbang dalam sidang DUN Johor.

“Jadi kalau suara tu daripada kerajaan, mungkinlah suara tu sekadar didengar secara picisan. (Kerajaan kata), ‘Oh tak apalah ini benda biasa’. Contohnya balai bomba. Dekat kawasan Sungai Balang yang berada di tengah-tengah antara bandar Muar sehingga ke bandar Batu Pahat.

“Bila kita tengok, oh betullah (balai bomba jauh). Dan perkara ni pernah dibangkitkanlah oleh YB yang sebelum ni. Dibangkitkan beberapa kali, tapi tak berjaya juga (diselesaikan),” kesal beliau.

Lepasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir itu berkata demikian dalam wawancara podcast Kekal Tenang yang dikendalikan oleh Khairul Nadzir Helmi Azhar yang disiarkan pada Isnin.

Jelas beliau, kedudukan Sungai Balang yang berada di antara Bandar Muar dan Batu Pahat menyebabkan penduduk terpaksa menunggu tempoh lama sekiranya berlaku kejadian kebakaran.

“Balai bomba hanya di Bandar Muar yang kalau katalah ada kebakaran di kawasan Sungai Balang, mengambil masa hampir satu jam atau satu jam setengah baru sampailah. (Bila sampai, mungkin) dah habis dah (terbakar),” kesalnya.

Calon nombor dua bagi DUN ditandinginya itu menambah, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana pernah dibangkitkan sebelum ini, namun masih belum menemui penyelesaian.

“(Desakan wakil rakyat sebelum ini) Tak didengari. Sebelum ni ada peristiwa di Semerah di hujung Sarang Buaya. Satu kedai terbakar, tapi bila buat laporan bomba, bomba datang. Bomba sampai dah 10 kedai terbakar. Sederet.

“(Masalah tersebut) Pernah diutarakan oleh pihak kerajaanlah. Tapi wallahualam. Kita tak tahu apa, mungkin (kerajaan ada) perancangan di situlah,” imbas beliau.

Menyentuh pengalaman sepanjang seminggu berkempen, beliau memaklumkan, banyak maklum balas diterima daripada masyarakat dan kebanyakannya memberikan respons positif terhadap PERIKATAN NASIONAL sebagai pilihan wakil rakyat.

Menurut beliau, antara isu utama yang sering dilontarkan penduduk adalah perasaan terpinggir, terutama dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.
 
“Mereka rasa terpinggir. Sebab apa? Sebab isu-isu kemajuan walaupun disebutkan tak ada isulah tentang kemajuan ni. Cuma bila kita sebutkan contohnya seperti ‘line’ internet ataupun ‘line’ telefon tersangat teruk kan?
 
“Jadi kita pun dulu pernah merasa juga. Bila pakai (telefon) duduk dalam (kawasan pedalaman) sikit, tak ada ‘line’. Jadi terpaksa ambil Unifi,” ceritanya.

Mengulas mengenai jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, beliau berpandangan kawasan di hujung negeri seperti Sungai Balang kurang mendapat perhatian kerana dianggap sebagai kawasan yang sudah selesa dengan keadaan sedia ada.

Beliau yang mesra dikenali dengan panggilan Ustaz Amin memaklumkan, kerusi Sungai Balang sejak dahulu tidak pernah dipecahkan oleh mana-mana parti selain Umno.

“Selama adanya pilihan raya ni, kerusi Sungai Balang ni tak pernah dipecahkan oleh mana-mana parti selain daripada Umnolah. Sejak daripada dulu lagi sampailah sekarang.
 
“Jadi mudah-mudahanlah mungkin kali ini, warga Sungai Balang membuat pilihan yang terbaik untuk mengangkat PERIKATAN NASIONAL (PN) sebagai suara di dalam dewan negeri. Insya-Allah,” harapnya.

Ditanya mengenai perkara yang akan dibawa sekiranya diberi peluang berada dalam Sidang DUN Johor, Ustaz Amin menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada isu yang diterima terus daripada masyarakat sepanjang kempen.

Beliau menerangkan, pengalaman sebelum ini menguruskan pusat khidmat masyarakat untuk bekas ADUN Maharani, Cikgu Abdul Aziz Talib membantu beliau memahami pendekatan mengenal pasti isu rakyat untuk diketengahkan.

“Mungkin yang pertamanya sepertimana sebelum ni saya pernah _‘setup’_ pusat khidmat masyarakat untuk YB Maharani. Cikgu Aziz, sebenarnya kita ambil topik-topik yang kita pernah dapat macam gini kan.
 
“Topik semasa berkempen, topik bila berjumpa dengan masyarakat, kita akan ambil kita ‘list’ perkara-perkara ni supaya kita boleh dapat untuk kita buat (untuk dibawa ke Sidang DUN),” jelas beliau.

Antara perkara yang akan diberi perhatian, jelas beliau, adalah pembangunan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sungai Balang.

“Dekat Sungai Balang sebenarnya ramai usahawan IKS. Dan saya pun sebenarnya pernah menjadi usahawan IKS di Sungai Balang. Jadi suara mereka ni macam mana nak buat permohonan, nak buat tender, nak dapatkan tender daripada kerajaan.
 
“Jadi benda ni mungkin ada satu ‘gap’ lah untuk dapat melalui pelbagai lapisan. Jadi mungkin kita boleh suarakan perkara-perkara ni supaya terus kepada pihak yang berwajiblah untuk selesaikan masalah-masalah yang sepatutnya,” ulas beliau.

Ustaz Amin menyeru seluruh pengundi Sungai Balang supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai ini iaitu hari pengundian bagi PRN Johor ke-16 itu.

“Harapan kita kepada pengundi 11 Julai adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan seluruh warga Sungai Balang dan juga Bangsa Johor perlu untuk turun mengundi, keluar mengundi, bawa semua ahli keluarga, bawa semua kawan-kawan turun ajak (semua).
 
“Dan pemilihan ataupun apa yang anda pilih itu sebenarnya adalah apa yang anda akan dapat selepas daripada pengiraan undi pada 11 Julai nanti.
 
“Saya sejujurnya yakin dan percaya warga Sungai Balang mampu untuk berfikir ataupun mampu untuk melihat situasi yang sebenarnya di mana Sungai Balang itu seperti bandar terpinggir dan sebagainya.
 
“Saya yakin dan percaya seluruh pengundi di kawasan ni mampu untuk membuat pilihan yang terbaik dan mampu untuk cuba satu benda yang barulah. 

“Satu benda yang baru yang kita akan bawa ke dalam sidang Dewan Negeri Johor nanti atas nama PERIKATAN NASIONAL insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2026

- Advertisement -