Hak asasi manusia selari prinsip maqasid syariah

Bukan konsep asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangan hak asasi manusia tidak wajar dilihat sebagai konsep asing yang bercanggah dengan agama dan budaya tempatan, sebaliknya selari dengan prinsip maqasid syariah yang menitikberatkan keadilan serta pemeliharaan maruah insan.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, tanggapan bahawa hak asasi manusia merupakan wacana yang diimport dari Barat perlu diperbetulkan kerana prinsip berkenaan telah lama menjadi teras dalam tamadun Islam.

Menurutnya, perlindungan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang menjadi asas maqasid syariah turut diterjemahkan melalui usaha mempertahankan hak kanak-kanak, masyarakat Orang Asli dan golongan rentan serta tahanan.

“Mereka sebenarnya telah menegakkan objektif. Objektif inilah yang sepatutnya turut menjadi keutamaan kita sebagai pembuat dasar di dalam dewan yang mulia ini,” katanya ketika membahaskan Usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kadar penyelesaian aduan yang diterima Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada 1,074 aduan yang diterima dan 867 kes yang disahkan sebagai pelanggaran hak asasi manusia, hanya 356 kes atau 41 peratus berjaya diselesaikan.

“Hanya 356 kes saja daripada jumlah ini yang berjaya diselesaikan sepanjang tahun. Bakinya masih dalam siasatan atau menunggu maklum balas agensi berkaitan.

“Angka ini penting bukan sekadar sebagai statistik tetapi sebagai cerminan penderitaan sebenar rakyat, golongan tahanan, pelarian, orang asal, kanak-kanak yang menunggu-nunggu keadilan. Dalam Islam kelewatan menegakkan hak seseorang bukanlah perkara kecil,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan SUHAKAM menunjukkan trend penurunan aset yang ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, aset suruhanjaya itu merosot daripada RM4.74 juta pada 2021 kepada RM1.53 juta pada 2024, selain merekodkan defisit operasi sebanyak RM1.84 juta tahun lalu.

“Keadaan ini merunsingkan kita,” katanya turut menyentuh isu hak tanah adat Orang Asli dalam perbahasan itu.

Beliau berkata, perlindungan terhadap hak komuniti terbabit perlu diperkukuhkan, termasuk dalam urusan melibatkan perdagangan karbon dan pembangunan yang memberi kesan kepada tanah warisan mereka.

Beliau menyokong saranan SUHAKAM supaya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperkukuhkan rangka perundangan berkaitan selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP). – HARAKAHDAILY 8/7/2026

- Advertisement -