MyCC mesti berani tanpa memilih bulu, tangani monopoli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) digesa agar benar-benar berfungsi sebagai sebuah institusi yang bebas, berani, dan diyakini rakyat dalam melaksanakan undang-undang persaingan secara saksama di negara ini.

- Advertisement -

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menegaskan, kewujudan undang-undang yang baik tidak akan membawa sebarang makna sekiranya institusi diamanahkan gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

“Rakyat tidak membaca seksyen demi seksyen yang kita bahaskan untuk dipinda pada hari ini. Rakyat mahu melihat hasilnya. Adakah harga menjadi lebih adil? Adakah peniaga kecil mempunyai peluang yang lebih luas?

“Dan adakah pemain pasaran besar benar-benar tertakluk kepada undang-undang yang sama? Itulah ukuran sebenar kejayaan suruhanjaya ini,” katanya membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa walaupun pindaan baharu ini bakal memperkukuh peranan dan kuasa MyCC, peningkatan kuasa tersebut wajib diiringi dengan akauntabiliti yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan daripada menteri mengenai Indikator Prestasi Utama (KPI) yang akan digunakan bagi menilai keberkesanan suruhanjaya tersebut selepas ini.

“Adakah sekadar jumlah siasatan, jumlah kompaun atau impaknya terhadap harga persaingan dan kesejahteraan pengguna?” soal beliau sambil mencadangkan agar MyCC membentangkan laporan prestasi tahunannya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen demi memastikan ketelusan dan kebebasan daripada campur tangan luar.

Ahmad Marzuk turut menekankan bahawa undang-undang persaingan hanya akan dihormati sekiranya ia dilaksanakan tanpa memilih bulu.

MyCC dituntut supaya berani mengambil tindakan bukan sahaja terhadap pengusaha kecil, malah ke atas syarikat gergasi yang dominan dalam pasaran, termasuk syarikat multinasional serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang sering berlindung di sebalik pengaruh politik.

“Rakyat ingin melihat sebuah suruhanjaya yang berani… bukan hanya berani terhadap pengusaha kecil tetapi juga terhadap syarikat yang mempunyai kedudukan dominan dalam pasaran yang ada kabel-kabel politik yang mereka jadikan tempat bergantung termasuk syarikat multinasional.

“Jika perlu, syarikat berkaitan kerajaan dan juga GLC,” tegasnya turut meminta menteri menyatakan secara bertulis mengenai jumlah tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh MyCC sepanjang tiga tahun lalu terhadap syarikat-syarikat dominan tersebut.

Menyentuh soal kuasa baharu untuk menjalankan kajian pasaran (market review), beliau menyambut baik langkah tersebut namun mengingatkan agar kuasa itu tidak sekadar wujud di atas kertas.

Beliau mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada sektor yang memberi impak langsung kepada kos sara hidup rakyat, seperti pasaran beras.

“Rakyat sentiasa bertanya sama ada kenaikan harga berlaku kerana kos pengeluaran ataupun kerana struktur pasaran yang terlalu tertumpu,” ujarnya sambil meminta menteri menetapkan sasaran tahunan yang jelas bagi kajian pasaran dan menerbitkannya untuk tatapan umum.

Dalam era teknologi masa kini, Ahmad Marzuk mengingatkan bahawa penguasaan pasaran kini telah beralih daripada pemilikan kilang dan gudang fizikal kepada penguasaan data, algoritma, serta platform digital seperti Shopee, Lazada, Grab, dan Foodpanda.

Beliau mempersoalkan kesiapsiagaan MyCC dari segi kepakaran teknologi analisis data dan forensik digital bagi menangani bentuk penyalahgunaan kuasa pasaran yang baharu ini.

“Kalau tidak, kita sedang menyediakan suruhanjaya untuk menghadapi cabaran semalam sedangkan cabaran sebenar pun mula berubah,” katanya.

Beliau turut berharap MyCC tidak hanya dikenali sebagai sebuah badan yang menghukum semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai institusi yang membimbing industri, mendidik pengusaha kecil, serta membina budaya pematuhan yang sihat.

Menurutnya, kejayaan MyCC tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah kompaun yang dikutip, tetapi sejauh mana pasaran menjadi lebih terbuka, telus, dan adil.

Ahmad Marzuk menegaskan bahawa sesebuah negara maju bukan kerana mempunyai buku undang-undang yang tebal, melainkan kerana mempunyai institusi yang berani menegakkan keadilan.

“Suruhanjaya Persaingan mesti dihormati bukan kerana luas kuasanya tapi kerana bebas keputusannya. Bukan kerana tinggi dendanya tetapi kerana keberaniannya bertindak tanpa memilih bulu.

“Kerana akhirnya rakyat mahu satu jawapan; selepas pindaan ini diluluskan, adakah pasaran Malaysia menjadi lebih adil daripada semalam? Jika jawapannya ya, maka suruhanjaya ini telah berjaya melaksanakan amanah yang diberikan oleh Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

- Advertisement -